Wednesday, October 14, 2009

CEPAT vs LAMBAT

Banyak-banyak CEPAT
Cepat yang paling tidak disukai ialah
Cepat MARAH

Banyak-banyak LAMBAT
Lambat yang paling disukai ialah
Lambat TUA

Kesimpulannya,
Kalau Mahu LAMBAT TUA Jangan CEPAT MARAH

Friday, October 9, 2009

PRIVACY

Bila berkata ‘Saya mahukan PRIVACY ‘, apa sebenarnya kita mahukan? Adakah suasana tanpa gangguan? Agar perasaan dan juga fikiran berada dalam keadaan tenang, justeru seluruh perhatian dapat kita tumpukan terhadap urusan yang sedang dilakukan.

Dan,

Bila berkata “Saya punya PRIVACY’, apakah itu juga maksudnya suasana kita sungguh bebas. Tanpa perlu risau pada percakapan atau pandangan orang lain terhadap diri kita. Tak perlu juga risau tentang apa penilaian mereka terhadap kita.

Apapun pengertiannya, sudah tentu kita semua perlukan PRIVACY. Berbagai PRIVACY diri yang kita mahukan. PRIVACY itu boleh saja menurut kedamaian rasa dan fikiran yang kita ingin nikmati.

Jika PRIVACY merujuk kepada fikiran dan perasaan masing-masing, bererti keadaanya bukan sama pada setiap orang. Maksudnya, PRIVACY itu mungkin punya tingkat tertentu, sebagai aras kedudukan selesanya  perasaan dan fikiran kita?

Jawablah,

Apakah Tingkat PRIVACY yang tertinggi pada diri anda?

Bagi saya tingkat tertinggi itu adalah MARUAH. Dan menjaga MARUAH seseorang,  bagi saya itu bermakna memberikannya PRIVACY tertinggi yang dia perlukan bukan sekadar mahu.

Tuesday, October 6, 2009

SOALAN PILIHAN


SOALAN 1
Apakah Anda Punya KEBEBASAN Jika Tidak Punya PILIHAN ?

SOALAN 2
Percayakah Anda Bahawa Anda Boleh Mencipta PILIHAN Sendiri, Justeru Bagaimana?

Ini Saya Jawab: Dengan Belajar Sepanjang Hayat

SOALAN 3
Boleh Terangkan Jawapan Awak ?

Sunday, September 27, 2009

Wednesday, September 23, 2009

MAHU TAHU

Siapa tahu, berapakah  jumlah wang  yang akan dia miliki dalam tempoh hayatnya?  Adakah dia untung jika tahu akan jumlahnya? Mari fikirkan bersama dengan menilai contoh ini, 

SEKADAR ANDAIAN ;

Tempoh hayat adalah  45 tahun. Jumlah  wang tersedia  ialah 2 juta.

Tempoh hayat adalah 30 tahun.  Jumlah wang tersedia  ialah 5 juta.

Tempoh hayat  70 tahun. Jumlah  wang tersedia ialah 1 juta.

JADI

Apakah Nasihat Anda Kepada 3 Individu Yang Dicontohkan ?

*******************************

Bersetujukah anda jika dikatakan urusan wang memang bikin pusing  kepala! Walau sedikit jumlahnya, tidak sebanyak duit para jutawan tetap juga  urusannya tidak mudah bukan ? Malah permusuhan dan dendam kadang timbul hanya semata kerana urusan wang.

Setiap kita ada wang, walau nilainya berbeza. Justeru mungkin kerana bezanya jumlah wang kita maka hidup kita berlainan rentak.  Begitulah wang membezakan kita manusia. Benar, banyak wang itu penting, tapi cara  kita memperolehinya jauh lebih penting. Seperkara lagi mahu  disoal ialah ;  

WANG ! SAMAKAH DENGAN REZEKI ?

Jika tidak punya wang, mungkin boleh berhutang. Tapi apakah kita akan berhutang jika tiada rezeki? (Tiada rezeki - bolehkah anda katakan demikian ?)

Jika perlukan banyak wang, bank boleh beri pinjaman. Tapi bolehkah juga bank memberi pinjam rezeki ?

Saya tidak berhajat menjawab. Hanya MAHU TAHU ;

SAMPAI BILA AGAKNYA URUSAN WANG AKAN SELESAI…..

Monday, September 21, 2009

SALAM SYAWAL

SITUASI 1

Bestnya esok raya,  Bebas !! Itu kata sepupu saya yang berumur 8 tahun tentang ketibaan Syawal.

Mendengarnya saya bertanya lagi kepadanya. Apa bezanya Hari Raya dengan hari bukan Raya. Katanya; Hari Raya kita BEBAS ! Bebas jalan kemana-mana tanpa kena marah.

 SITUASI 2

Wow, besarnya bunyi MERCUN. Siapa punya tu ah, kau tunggu ! Nanti kita lawan  mercun mercun siapa lagi besar bunyinya. Itu kata anak saudara..., 

Beginikah hari Raya. Macam sambut tahun baru saja. Ya, seperti juga menyambut  merdeka. Kadang tak ubah macam tahun baru Cina.

Begitulah anak Bulan Syawal disambut. Perang Mercun ! Takbir di surau hampir dilupakan.

SITUASI 3

APAPUN SITUASINYA

Selamat meraikan Syawal Yang Mulia Dan Maaf Zahir Dan Batin

Moga Keredhaan Illahi Sentiasa Bersama Kita. 

Wednesday, September 2, 2009

SAMPAI DI MANA

Perasaan sungguh bimbang dan cemas. Laut terus mengganas sedangkan kapal dinaiki masih jauh sampai ke destinasi.

Dalam rasa yang giat menggelora keresahan, mata terpaku pada kalangan manusia yang berada dalam kapal yang sama. Kelihatan mereka sangat sebok. Sebok dengan hal yang seperti tak berkesudahan…...,

Ada yang tanpa putus asa, menampal papan kapal yang kian banyak bocornya.
Ada yang tanpa rasa peduli, dengan berani membocorkan kapal.
Ada yang hampir tak menang tangan mencurahkan air kembali ke laut.
Dan Sungguh Hairan;
Dalam ketidaktentuan gelagat manusia yang berada dalam kapal itu…
Ramai yang masih terus bersuka ria
Ramai yang masih terus membuat pesta
Dan
Ramai juga yang hangat bertikam lidah
Tidak ketinggalan berperang kuasa

Dan Ketika Itu SAYA bagaimana ?

Saya BERMIMPI sebenarnya. Tak sempat saya mengikuti pelayaran itu sehingga tempat dituju, saya pun terjaga. Bangun dari lena yang amat meresahkan. Tapi...,

Bermain difikiran saya.....

Jika benarlah mimpi itu,

Di manakah nanti kapal itu akan berlabuh?

Tuesday, September 1, 2009

31 OGOS DATANG LAGI

31 Ogos datang lagi. Dalam Takwim Negara tarikh ini sungguh keramat. Semua orang  tahu kenapa? Namun, cuba kita tanyakan;  Apa bezanya 31 Ogos kini  dengan 31 Ogos yang telah meninggalkan kita 52 tahun dahulu?

Sebahagian peristiwa dikhabarkan….,

Dulu dengan ubi kayu mereka  hidup. Tapi sekarang anda  hidup dengan aneka hidangan, namanya pun susah disebut oleh moyang kita – seperti  Pizza Hut!

Dulu jika ke pasar minggu dengan wang RM 10.00, penuh barang di tangan Tapi  sekarang meminum secawan kopi pun harganya mencecah RM 10.00 – anda tahu di mana tempatnya ?

Dulu bendang itu sumber rezekinya si petani.  Sekarang ia menjadi  milik para taukeh kaya. Malah , ada yang berubah wajah, bukan padi ditanam tapi di atasnya tersergam mewah rumah si kaya raya.

Mendengarnya begini, banyak yang terdetik dihati. Sayu, Kecewa ! Entahlah.., tapi mungkin juga tidak.

Sebenarnya apa yang mahu dicari pada 52 tahun dahulu?  Sedangkan kalau ditonton cerita 52 tahun dahulu,  tentu warnanya hitam putih. Dan siapa yang akan  suka ? Namun andai benar ada yang hilang soalnya…

Dapatkah kita mencari apa yang hilang sepanjang perjalanan masa. Ya, perjalanan selama 52 tahun kita merdeka.

Kita tanyakan semangat kita. Benarkah semangat 2009 ini berkobar  sebagaimana membaranya semangat 1957 dahulu? Mungkin keterlaluan tuduhan ini; Menyaksikan meriahnya 31 Ogos ini macam satu pesta. Ia bukan symbol perjuangan tapi pentas hiburan.

Lalu dijawab; jangan samakan dulu dengan sekarang. Ini zaman kita mengisi kemerdekaan…, Perjuangan itu bukan hanya di medan tempur saja.  Setelah mendengar tentang semua yang dibicara, mengangguk kepala cuma "Kotakanlah kata-kata kamu tentang perjuangan demi negara"  kerana sangat ingin rasanya menyaksikan perjuangan di era baru ini.

Tapi tak selesai persoalan, bertanya  lagi;

Apakah kerana zaman maka kita berubah cara. Zaman akan sentiasa berubah. Dan apakah,  akan dibiarkan saja Zaman menentukan  segala jenis dan hala perubahan?

Friday, August 28, 2009

SIAPA UNTUNG

Jangan salah faham dengan niat mengajukan soalan ini. Kerna bila bertanya tentang harga ; bukanlah nilai materi yang dimahukan. Soalan itu  berbunyi;

BERAPAKAH HARGA DIRI ANDA ?

Ingat ya…, Harga yang ditanya itu bukan pula merujuk kepada harga diri luaran tapi harga diri dalaman. Kerana harga diri luaran itu ada ketika tidak searas dengan harga diri dalaman. Ya.., bukankah si Miss World itu harganya sangat mahal! Pun begitu,  dalam konteks yang dimaksudkan berapapun  harga diletak,  simpan saja jawabannya  untuk diri masing-masing.

Cuma jika meneliti  jawaban diberi;  Siapakah nanti yang amat beruntung jika Harga Diri yang diletak itu begitu tinggi. Pasangan kita, keluarga atau teman-teman kita?

Saya ajukan jawapan sendiri  sekadar satu perkongsian pandangan;

Pertama; Jika punya Harga Diri yang tinggi, KEUNTUNGANNYA bisa saja berharga  kepada Siapa yang berada dalam  lingkungan pengaruh kita. Dan jika lingkungan pengaruh kita besar maka banyaklah yang beruntung.  Bukan hanya pasangan, keluarga mahupun teman-teman.  

Kedua: Jika punya Harga Diri yang tinggi, KEUNTUNGANNYA bisa juga berharga  kepada Siapa yang berada dalam  medan pertanggungjawaban kita. Dan jika medan pertanggungjawaban kita besar maka banyaklah yang beruntung. Seperti telah disebut, bukan hanya pasangan, keluarga atau teman-teman saja yang untung. Malah lebih ramai dari itu.

Sejenak kita renungkan  tentang diri masing-masing. Apakah kita punya lingkungan pengaruh atau medan tanggungjawab? Soal kecil atau besar keduanya, usah dulu bicarakan.

Jika tidak punya; mungkinkah  bererti Harga Diri yang tinggi itu – “bukan menjadi kebaikan pada orang lain tapi cukup menjadikan kita orang baik”.

Tuesday, August 18, 2009

MAAF

Pertama;
“Saya menyusun sepuluh jari dan saya pohonkan kemaafan atas segala kesalahan yang terlanjur saya lakukan”

Kedua;
“Dari hujung rambut hingga hujung kaki, saya mohon maaf kerana telah mengasari”
***************************

Mungkin itu adalah beberapa ungkapan sebagai cara kita meminta MAAF. Tapi cuba kita selami keikhlasan kita ketika memohon MAAF. Apakah MAAF yang kita pohon itu sekadar pada perbuatan yang telah mengasari atau mengguris orang lain.

Saya tidak fikir demikian. Maaf yang dipinta bukan setakat itu…,

Untuk satu kemaafan, sebenarnya kita menghamparkan fikiran dan perasaan kita untuk dimaafkan. Kerana perbuatan itu hanya terjemahan. Terjemahan dari yang difikir dan dirasa. Justeru apabila kemaafan dipohon, yang mahu dimaafkan itu adalah fikiran dan perasaan yang terselindung.

Sebaiknya PEMAAF ini menjadi sifat semua. Ingat pada pepatah yang mengatakan; “……….., kalau ada silap dan salah jangan disimpan didalam hati’.

Mengapa silap dan salah tidak boleh berada dihati ? Kita tentu sedar, bahawa bibit dendam adalah bermula dari kedekutnya diri kita memberi kemaafan.

Alangkah ruginya !
Jika kita yang berdendam merana, sedangkan yang didendam tidak apa-apa.

Monday, August 17, 2009

APA DIMILIKI

Tidak punya apa-apa ! Harta tiada, kuasa tiada, pangkat tiada. Lalu, harus dengan cara apa mahu membela bangsa yang terasa DIPERMAINKAN. Yang ada hanyalah PRINSIP. PRINSIP yang mahu melihat bangsa punya harga diri dan maruah.

Dan,

PRINSIP itu sangat tersentuh bila melihat bangsa saling bermusuhan. Bertelagah “bak gajah dengan gajah bergaduh, kancil di tengah mati tersepit”. Jika begitu, bagaimana agaknya dapat dihembus bayu kedamaian sedang sengketa kencang menyelerak rasa kasih sayang. Tapi apakah dengan membiarkan saja permusuhan yang menjadi-jadi itu akan membawa senang. Jika dalam keadaan aman pun susah mahu senang, apatahlagi dalam keadaan sengketa. Justeru biarlah bukan seorang berdarah pahlawan. Semangat “Perpaduan” tetap disemarakkan. Walau bukan untuk diri sendiri untungnya, memadailah demi kehidupan mereka yang sengsara, agar tersedia jalan yang mudah untuk mereka merintis  kesenangan.

Dan,

PRINSIP itu juga sangat tersentuh bila bangsa ditindas-tindas. Bangunan yang tinggi melangit tidak bisa memaafkan rasa yang terguris. Kerana ternyata bangsa masih meminta-minta. Dan sungguh malang, tatkala bangsa meminta-minta, tatkala itulah bangsa rakus diperguna dan dipersenda. Tapi apakah dengan membiarkan saja penindasan itu, maka sesuatu yang hak akan berada di tempatnya.  Jika dalam keadaan kaya raya pun hak orang dirampas, apatah lagi untuk memberikan hak pada ketika papa kedana. Tabahkan diri  mempertahankan Keadilan agar kesaksamaan dimeratakan.  Dan sekali lagi,  biarpun  bukan seorang berdarah pahlawan, obor “Keadilan” jangan biar dipadamkan. Moga nyalaan Keadilan itu akan menghanguskan penindasan pada bangsa yang kerdil.

Mungkin dapat direnungkan..

Kehancuran bukan berlaku di saat tidak memiliki apa-apa yang bernama Kemegahan. Tetapi kehancuran itu berlaku di saat tidak memiliki apa-apa yang bernama - PRINSIP.

Thursday, August 13, 2009

TUDUH

Anda Musuh Dalam Selimut !
Anda Khianati Sumpah !
Anda Berpaling Tadah !
Anda Hipokrit !

Kenapa tiba-tiba saja semua itu menyerang anda. Oh…, rupanya anda sedang dituduh.

CUMA,

Benarkah anda pernah dituduh ! Jika pun bukan dengan tuduhan seperti dikatakan, mungkin tuduhan lain. Mahu dipastikan dulu perkara ini, kerana hanya orang yang pernah dituduh saja, tahu betapa sakitnya menderitai tuduhan, apatah lagi tuduhan palsu.

NAMUN,

Saya bersoal kali ini bukan mahu bicarakan tentang tuduhan, bukan juga tentang yang tertuduh. Tapi yang mahu saya cuit ialah si PENUDUH. Mengapa ada orang sanggup menjadikan dirinya PENUDUH? Bagai satu kegilaan sikapnya yang suka menuduh-nuduh. Jika tuduhan pertama tidak berhasil, dia keluarkan pula tuduhan kedua. Maka menjadi-jadilah dia dengan tuduhan yang bukan-bukan. Sedangkan pada satu keadaan, tuduhannya itu juga adalah sikap dirinya sendiri.

Menuduh-nuduh ini baik dielakkan, nanti akan memusnahkan kewibawaan diri.

Menyoal kembali soal PENUDUH, apakah si PENUDUH boleh membuat telahan, pada tuduhan keberapa maka tuduhannya itu nanti akan dipercayai. Perkara ini mungkin sukar. Kerana, bagaimana agaknya membuat ketentuan jika 1 DUNIA menjadi juri kepada tuduhan itu.

Sekarang ini MENUDUH-NUDUH telah menjadi satu senjata baru. Terutama kepada beberapa kalangan yang semakin ketirisan pengaruh. Atau mereka yang dilanda kemarau pengaruh ekoran rasa percaya orang lain terhadap dirinya semakin kering. Lalu bertukarlah dirinya menjadi PENUDUH. Dia simbahkan tuduhan kepada tubuh orang lain. Berharap dia agar kepercayaan padanya yang semakin hilang kembali mengalir ke batang tubuhnya
Jangan biar menuduh-menuduh ini berkeliaran. Kelak ia menyelirat pemikiran massa, massa menjadi keliru antara kebenaran dan kepalsuan. Akhirnya massa tidak kenal apa namanya berprinsip. Ketika itu jangan dipersalahkan massa yang longgar pegangan. Tiada untungnya menuduh-nuduh ! Kerana tidak pernah ada tuduhan yang berniat baik.

Tuesday, July 28, 2009

SEDUTAN KATA-KATA

Petang tadi, saya utarakan pandangan mengenai KUASA kepada para hadirin. Pandangan itu bukanlah  suatu konsep komprehensif, tetapi sifatnya sekadar suatu peringatan. Dengan sedikit penambahan, inilah kata-kata itu…,

“Apa salahnya BERKUASA ! Yang salah adalah menyalah gunakan KUASA.  Maka beringatlah tatkala menjadi manusia BERKUASA. Gunalah KUASA untuk melindungi dan membangunkan agama, negara dan bangsa. Andai tatkala BERKUASA, lalu tersimpang arah KUASA itu dan tidak pula mahu berbalik kepangkalnya.  Nescaya  KUASA itu  akan kembali membinasakan diri”

“Jangan hindari KUASA dan teruslah miliki KUASA. Bayangkan jika sang suami tidak punya KUASA pada isterinya, kita ibubapa tidak punya KUASA  pada anak-anak, si ketua  tidak punya KUASA  pada pengikutnya. Dan  bayangkan pula, apa terjadi jika rakyat tidak BERKUASA  kepada negaranya…….”

"Jangan jadikan  KUASA seperti permainan catur. Tidakkah terfikir;  bahawa KUASA itu menTERTIBkan  ADAB. Tidakkah terfikir;  bahawa KUASA bukanlah hanya berpentaskan pertaruhan pengaruh. Megnet  KUASA lebih  luas dari itu. Bukankah juga KUASA juga menYUSUNkan  HUBUNGAN. Agar kita tahu kepada siapa kita hormat, patuh, taat dan setia. Dan lebih utama kita tahu kenapa kita perlu hormat, patuh, taat dan setia”

Wallahualam.

Tuesday, July 21, 2009

MEMPELAJARI KEBAIKAN

Mari bersama kita cari KEBAIKAN.  Di manakah yang bernama KEBAIKAN itu  berada?

Jika begitu soalnya, mari bersama kita senaraikan beberapa yang bernama KEBAIKAN; pemurah, penyayang, pembersih, pengasih. Teruslah menyenaraikan….., Bukankah senarai itu adalah sifatnya  manusia.

Maka jika mahu mencari KEBAIKAN carilah dalam diri manusia. KEBAIKAN itu walau tiada bentuk fizikal, tapi  kita  dapat lihat, kita dapat  dengar,  malah kita dapat rasa. Justeru KEBAIKAN yang kita alami sebenarnya sebahagian dari KEBAIKAN orang kepada kita.  KEBAIKAN mereka yang  bernama Orang Baik.

Tapi, cukupkah sekadar kita menerima KEBAIKAN?  Tidak salahkan, jika kita  MEMPELAJARI KEBAIKAN seseorang? MEMPELAJARI KEBAIKAN pilihlah cara bagaimana;

Cara - Menirukah ?

Cara - Mencontohikah ?

Cara – Mengikut-ngikutkah ?

Cara - Berteladankah ?

Cara - Beriktibarkah ?

Asalkan kita juga akan menjadi Orang Baik apa salahnya cara pilihan kita.

Namun masih ada teguran mahu dikata;  Ini juga tentang MEMPELAJARI KEBAIKAN. Maksud saya….,

Orang Baik tiada yang hidup selama-lamanya. Apalah beza KEBAIKAN pada DIRI manusia yang SAMA hanya kerana dunianya telah berubah. Dua dunia, iaitu dunianya ketika dia masih hidup dan dunianya  setelah  dia mati.

Kenapa soalan ini saya ajukan? Kerana kadang berlaku, setelah seseorang mati barulah berjela-jela KEBAIKANnya dihebahkan. Sedangkan suatu ketika, semasa hidupnya  hampir saja KEBAIKANnya  mengundang musibah kepada dirinya. (Saya tinggalkan kenyataan ini dengan persoalan!)

MEMPELAJARI KEBAIKAN itu tiada peraturan masa. Kerana pada saya KEBAIKAN itu sentiasa hidup dan tak akan pernah mati.

Thursday, July 16, 2009

KETINGGALAN

Sepatutnya kelmarin anda terlibat dalam misi perdamaian. Hari ini anda masih berada di pejabat, ekoran Ketinggalan menyertai penerbangan rombongan misi tersebut. Agaknya berapakah kerugian yang ditanggung kerana Ketinggalan itu?

Hari ini sepatutnya anda memulakan tugas baru. Tetapi semua dokumen yang diperlukan tidak bersama anda. Pagi tadi anda begitu tergesa-gesa takut ketinggalan kenderaan yang mengambil anda ke pejabat. Fikirkanlah berapakah pula kerugian yang dialami kerana semua kerja tidak selesai dan tertangguh. Puncanya hanya kerana Ketinggalan itu.

Aneka peristiwa Ketinggalan, setiap diri mungkin pernah mengalaminya. Jika tidak salah, tentulah benar sekiranya ketinggalan ada kerugian. Untungnya kerugian itu sifatnya kalkulatif.

Tapi bagaimana jika anda KETINGGALAN ZAMAN?

Adakah anda merasa rugi? Ada juga yang tidak merasa begitu. Orang telah bicara tentang teknologi moden, tapi dia masih bicara teknologi purba. Dan jika orang bicara tentang kepimpinan dunia baru dia masih bicara tentang Parameswara.

Tenyata Pemikiranya Jauh Ketinggalan.
Betulkah anda KETINGGALAN ZAMAN?

Bayangkan, telah banyak yang muncul dengan idea-idea baru. Tapi anda masih melihatnya dengan label lama.
Mengejar Zaman ! Tanyalah Diri Bagaimana ?

Monday, July 13, 2009

TAKUT

Hebatnya kita memiliki perasaan. Dengan perasaan, nikmat hidup ini dapat kita rasai. Malah kita akan berkata,  alangkah  berwarna-warninya kehidupan. Itu justeru  kerana  rasa kita yang berjenis-jenis.

Maknanya, dalam diri bukan hanya ada satu rasa sahaja. Marilah memilih satu daripadanya. Itulah rasa TAKUT.  Kenapa rasa TAKUT ujud?  

Senaraikan saja sebab dan alasan. Tapi ingin ditanya  tentang satu jenis TAKUT. TAKUT APA?

TAKUT PADA BAYANG-BAYANG. Pernahkah anda bertemu orang yang punya rasa TAKUT jenis ini. Mensifatkan orang dimaksudkan berdasarkan perkongsian pengalaman. Lalu digambarkan, orang itu; Dia seumpama pemburu. Buruannya ialah orang yang dianggapnya pesaing boleh menggugat kedudukan. Sehingga kesatu peringkat orang buruannya itu, di kata adalah musuh.  Sayang…,   anggapannya itu bukan benar.

Mengapalah TAKUT jenis ini mesti ada? Apapun jawabnya. Saya memberi kesimpulan sendiri…..,

Adanya  TAKUT ini kerana adanya orang  orang “BERJIWA KECIL”.

Saturday, June 27, 2009

RINDU

Saat ini,

Jika rindu pada kampung halaman. Pulanglah….,

Akan datang,

Entah, berapa lama dari sekarang? Kampung halaman itu mungkin tidak lagi berwajah serupa.

Saat itu,

Jika rindu pun hati sudah tidak  akan melihat kecantikan yang dulu.

Akan datang,

Mungkinkah  tiada lagi rindu pada kampung halaman.

Waktu itu,

Apalah nanti kesudahan pada Kampung Halaman?

Juga kesudahan  Rindu itu?


Friday, June 26, 2009

SATU PAKEJ


Senangkah Merendah Diri ?
Untuk pasti, satu persatu karektor orang diamati termasuk diri sendiri. 

Maka, dipandanglah pada Perhiasan Diri. Ternyata ada di kalangan yang sungguh sederhana. Walau hakikatnya, kemewahan boleh saja terpamer pada setiap inci jasadnya.

Dipandang pula pada Cara Berurusan. Nampaknya tiada kehendak pada layanan semulia para bangsawan sedangkan, bukan calang-calang pangkat dan kedudukan.

Hampir pasti, ini mungkin yang dikata Merendah Diri.

Namun menyelidiki karektor itu tidak berhenti di situ. Maka…,

Dipandang pula padaTutur Bicara. Nah ! sedikit tersentak. Kenapa?

Kerana tutur katanya mempertontonkan kemewahan yang tidak terlihat. Kerana tutur katanya mempertonton kemegahan yang tidak terzahir.

Hampir setiap perkataan membariskan susuk dirinya. Susuk diri tentang kehebatan yang tiada tertanding. Memperkata tentang ilmunya, memperkata tentang amal dan sumbangannya. Anak-anaknya juga meninggi pujian diberikan. Banyak lagi…..

Bermenung sendirian, rasanya andaian awal tadi bukanlah juga meleset. Lalu dengan fikiran sendiri menjawab….

Merendah Diri itu perlu SATU PAKEJ. Jika ada kekurangan, maka PAKEJ itu cuma tidak sempurna.

Namun, tetaplah waspada dengan PAKEJ yang tidak sempurna, Mungkin ia akan menjadi PAKEJ lain. PAKEJ yang namanya Sombong dan Angkuh. Atau PAKEJ yang namanya Riak dan Bongkak.

Thursday, June 25, 2009

TANDA TANYA

Mari kita bertanya. Andai kuasa asing berjaya menakluki kembali bumi bertuah ini. Berapa lamakah dapat kita tentang dan usir mereka.  Kerana jangan sama sekali mereka bermaharajarela lalu kita yang dikata derhaka.

Apakah selama 446 tahun, seperti lamanya kita ditawan setelah kejatuhan Melaka 1511.  Mungkin juga tempohnya kurang atau  tempohnya lebih dari itu? Semua ini masih tanda tanya….,  

Berapa pun angka yang diramal, realitinya  negara ini masih berdaulat. Maka marilah…..,

Kita peliharalah dan pertahankan bumi bertuah ini? Kecil atau besar peranan kita bukan ukuran. Kerana HATI yang tulus mempertahankan negara bukan letaknya pada kuasa dan pangkat.

Apakah yang dapat kita katakan pada dia. Siapa?

Dia yang gelojoh mengumpul kekayaan negara tapi dibibirnya tiada bicara,  melainkan bicara retorik. Berslogan dia, katanya “Jangan tanya apakah sumbangan Negara kepada kamu tapi tanyalah apakah sumbangan kamu kepada Negara”

Negara ini jika musuh yang datang kita boleh melawannya. Tapi jika kita yang menjadi musuh dapatkah kita melawan diri kita?

Wednesday, June 24, 2009

SEBENARNYA

Agak lama blog ini ditinggalkan.  Sebenarnya, kebelakangan ini sungguh banyak urusan memerlukan komitmen besar, sehingga mengendurkan  ketekunan menghalusi sesuatu persoalan.  Tulisan ini pun cuma sedikit sahaja….., 

Petang tadi 24 Jun 2009, saya mengajukan soalan. Apa maknanya kita MENGHORMATI orang ?

Soalan itu sengaja saya lontarkan agar berlegar dalam pemikiran para pendengar. Namun saya sertakan pandangan sendiri.

Jawab saya,

Menghormati Orang itu juga bermakna Menjaga Maruah Orang. Justeru yang namanya  Menghormati Orang itu tidak hanya terikat pada sisi pertemuan antara seseorang.

Sekadar ini dulu……, 

Friday, May 29, 2009

PILIH KASIH

Anda bukan seorang yang bersikap PILIH KASIH. Tapi pernahkah sesekali anda cenderung memberi layanan istimewa kepada seseorang. Maksudnya, jika dalam sekumpulan orang,  hati anda merasa BERAT pada seseorang. Sedangkan atas nama tanggungjawab sekumpulan orang itu perlu anda layan secara saksama. Sayangnya  layanan anda  tidak serupa itu.

Tentu ada  alasannya  jika sikap kita rentaknya tidak seirama kepada semua orang.  Cuma alasan  kita, bukan semua orang menerima. Lalu akan ada orang dilayan begitu, terasa hatinya. Akhirnya hatinya tidak lagi merasa senang.......

Ada dikata “Berkawan Biar Seribu, Berkasih Biarlah Satu”. Apakah pepatah ini terlepas dari makna PILIH KASIH? Begitulah agaknya.  Sebenarnya KASIH adalah suatu perasaan yang suci. Yang rumit itu adalah memilih-milih KASIH.

Di sini sebenarnya;  Bukan hanya sekadar mahu bersoal tentang Pilih Kasih; Tapi nak bagi tahu.....,

‘Susahnya nak jaga hati orang, apatah lagi nak jaga hati semua orang’

Susahnya membuat orang berhati senang, apatah lagi nak buat semua orang berhati senang’.

‘Susah nak mendidik hati orang, apatah lagi mendidik semua hati orang’ 

Dan lagi......,

Jika hati sendiri tak terjaga dapatkah terjaga hati orang.

Jika hati sendiri tak senang dapat menyenangkan hati orang.

Jika hati sendiri tidak terdidik dapatkan mendidik hati orang.

HATI SENDIRI HATI ORANG  andai diumpama.....

Bagai Air Dicincang Tak Akan Putus.

Bagai Aur Dengan Tebing.

Mungkin......

Ketika itu tiada lagi dua hati dan tiada lagi dua jiwa. Melainkan telah bersatu seperti dikata  SEHATI DAN SEJIWA.

Ketika itu juga, mungkin yang dikhuatiri sebagai pilih  kasih itu pun tiada lagi.

Tapi, itupun belum tentu....

Tuesday, May 19, 2009

SALING PERCAYA

Keharmonian yang dikecapi dalam perhubungan sesama insan berkembang seiring dengan keintiman  rasa saling percaya mempercayai. Semakin mendalam rasa saling percaya, semakin teguhlah hubungan yang terbina.  Soalnya, apakah pada semua perhubungan memerlukan rasa saling percaya? Atau bolehkah dikatakan  titik awal  terbitnya rasa saling percaya  itu bermula dengan ikatan perhubungan.

Kiranya benar begitu, hakikat hubungan perlu terdahulu difahami. Bagaimanakah anda mengatakan yang anda punya hubungan dengan seseorang? Adakah  kerana ujudnya pertalian darah? Adakah kerana anda dengan dia saling tahu dan saling mengenali. Atau apakah  kamu berdua punya persamaan tugas? Atau mungkin ada misi yang perlu anda lakukan  bersama ? Atau ada lagi lain-lain kemungkinan…..

Berasas kepada alasan-alasan tadi, maka kita akan contohkan hubungan itu sepertinya hubungan antara suami dan isteri, hubungan antara ibubapa dan anaknya, hubungan antara adik beradik serta sanak saudara. Dan jika tiada pertalian darah sekalipun sebenarnya, hubungan itu akan diakui juga sebagai hubungan antara teman-teman paling tidak sebagai kenalan.

Pada semua hubungan ini jika ia disimpul dengan rasa saling percaya maka hubungan itu akan berpanjangan. Bayangkan jika antara suami isteri sudah hilang rasa saling percaya mempercayai.  Tiada perkara melainkan dipersoal. Tiada jawapan melainkan ada keraguan dan syak wasangka. Ketika itu  mengurus hubungan akan menjadi  suatu yang sungguh memenatkan.

Sekiranya hubungan dikatakan juga ujud di antara pengikut dan ketua, atau di antara rakyat dan pemerintah.  Maka kita perlu menentukan sebab mengapa pengikut perlu percaya kepada ketua? Atau menentukan  alasan mengapa rakyat perlu percaya kepada pemerintah? Supaya nanti apabila sebab dan alasan itu tidak lagi dipatuhi atau tidak lagi ditepati, berang tidak menjadi-jadi. Bukan mustahil lagi  berita tentang  ketua yang disabotaj atau dijatuhkan. Malah yang berlaku akan lebih dari itu.  Demikianlah jika kemarahan berselerakan akan ada amaran menurunkan pemerintah.  Itulah malangnya jika hubungan bagai  telur di hujung tanduk,  tetapi lebih malang kepada mangsa yang menerima nasib.

Di manakah sebenarnya tempat kunci rasa saling percaya itu berada.   Apakah ia tersimpan dalam sendi pengikat rasa saling percaya. Dan jika cedara sendi itu remuklah  hubungan,  tak akan tertanggung akibat yang parah. Bertanya lagi; sendi yang dimaksudkan itu apa rupanya ? Itukah mungkin yang dikatakan  ‘Kepentingan Bersama’.  Kepentingan yang masing-masing punya hak terhadapnya.  Sekiranya hak itu sudah tidak terjaga.  Rasa terlindung  dan rasa selamat akan hilang dalam perhubungan. Setelah semua rasa itu telah tiada, masihkah bersemangat meneruskan hubungan yang sudah luntur  rasa saling percaya ?

Mengurus rasa saling percaya  menjadi sebahagian dari urusan kita. Suatu masa, seseorang menjadi lawan kita mungkinkah  kerana dia sudah tidak percaya kita? Suatu masa, orang sinis kepada kita mungkinkah kerana orang sudah tidak percaya kita? Mengapa tidak, kerana kita banyak menabur janji tapi semuanya kita mungkiri. Maka marilah kita memikir-mikir bagaimana untuk menjadi seseorang yang tetap  dipercayai.

Dipercayai;  cukupkah sekadar bercakap benar dan tidak berdusta?  Jika ada satu, atau dua, atau tiga, atau empat orang bersifat benar dan tidak berdusta maka KEPERCAYAAN tetap diletakkan kepada  orang yang kelima  bersifat benar. Mengapa? Kerana dia, menjadikan harapan sebagai kenyataan. Kerana dia, mampu memecah kebuntuan. Kerana dia, optimis mencantumkan  rencana-rencana perubahan yang pada satu masa menjadi realiti baru.

Monday, May 11, 2009

KALAM TAK BERUBAH

‘Di Kayangan Kita’. Ini tajuk lagu dendangan Siti Nurhaliza. Saya amat menggemarinya.  Kerana dalam lirik lagu ini, saya amat terpesona dengan satu baris ungkapan. Bukanlah hajat untuk  mengulas lagu tersebut, sekadar menjemput perhatian kalian untuk merenung semangatnya. Saya kenalkan ungkapan ini dalam beberapa persoalan, moga anda menemui mana satu ungkapan yang saya maksudkan itu.

*************************

Jebat mati di tangan Tuah.  Demi Tuah, Jebat sanggup mati.

 Demi Tuah Jebat sanggup derhaka kepada Sultan.

Itulah Jebat KALAM TAK BERUBAH, biar dia melanggar arus Kesetiaan.

Itulah Jebat KALAM TAK BERUBAH, pada sumpah Pahlawan.

Itulah Jebat   KALAM TAK BERUBAH, pada Persahabatan.

**************************

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu berjanji kini memungkiri ?

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu kawan kini jadi lawan ?

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu rindu kini jadi benci

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau kayangan jadi hantaran ?

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau ugutan jadi desakan ?

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau nyawa taruhan ?

**************************

KALAM TAK BERUBAH apakah maknanya SETIA.

 

Saturday, May 9, 2009

PERIUK NASI

Siapa tak tahu PERIUK NASI. Pelbagai jenama ada; sebut saja National, Sanyo, Philip, Kenwood, Toshiba Akira merata ditemui. Akan datang banyak lagi jenama baru. Poket berisi tiada halangan untuk membeli. Mahu murah boleh ! dan kalau mahu mahal bayar saja lebih. Kalau masak pastikan nasinya cukup. Ramai yang makan ambillah periuk  yang lebih besar.

Tapi jangan lupa ada satu lagi jenama PERIUK NASI. Bukan juga versi baru, tapi zaman telah memberikan makna baru kepada PERIUK NASI ini.  Apa bezanya guna Periuk Nasi versi ini? Awalnya  Periuk Nasi diertikan seumpama rezeki, guna untuk mengalas hidup. Tapi hidup tidak selamanya tenteram, terpercik cabarnya. Apa terjadi !  Periuk Nasi bukan lagi mengalas hidup tapi menjadi alasan  hidup.

SEKARANG INI

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup  dia membelakang agama.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia mengkhianat bangsa.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia menggadai maruah.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia memakan sahabat.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia menindas teman.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia bercabang lidah.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia bermuka-muka.

- PERIUK NASI menjadikan orang BERMACAM ORANG -

Orang sekarang bukan sekadar memasak nasi tapi  Orang pun akan dimasaknya. Apa tidaknya, mentang-mentanglah Periuk Nasi mereka bersadur berlian, mentang-mentanglah Periuk Nasi mereka kilangnya jenama Negara. Makannya telah berubah selera. Mengapa tidak ! jika yang dijilat keringat orang.

Ya.., Kini Orang sudah makan Orang. Orang itulah yang dikata Orang tak berhati perut. Perutnya tidak puas dengan hidangan lazat,  kenyangnya menjamah perut orang.

Alangkah baiknya ditanak nasi,  turut dirasa orang. Bukan sendiri merasa kenyang, ada orang menumpang kenyang.

Dunia ini untuk semua orang. Bukan hanya untuk Kita Orang. Jika Kita Orang mahu senang, demikian juga orang lain. Mereka Orang  pun mahu hidup senang.  Mengapa mesti kacau Periuk Nasi Kita Orang ? Dan Kenapa pula mesti dikacau Periuk Nasi Mereka Orang ?

Alahai PERIUK NASI….,  

Friday, May 8, 2009

PERSOALAN MASA


Sekadar bertukar pandangan mengenai 3 persoalan MASA.

Pandangan Pertama;
Persoalan: ‘Mengimbas masa silam dan menoleh kebelakang itu juga cara merasakan pergerakkan masa?’

Masa silam jika kondisinya sama saja dengan kondisi masa kini. Dapatkah di rasa pergerakan masa? 

Tapi jika kondisi masa telah bertukar rupa. Tentu dapat dirasa peredaran masa. Mungkin sesuatu juga dapat dipelajari. Belajar dari zaman yang berubah, bergantunglah nanti samada perubahan kecil atau perubahan besar.

Perubahan zaman tidak berlaku kebetulan, melainkan kesan dari pembaharuan jiwa dan pemikiran. Seringkali jiwa dan pemikiran besar akan meninggalkan mercu tanda zaman. Peninggalan oleh mereka yang digelar pelopor zaman, Pemimpin Perubahan. 

Apa Salah Menjengah Masa Silam Jika Untuk Merubah Zaman. Asal Dapat Kembali Ke Masa Kini, Kerana Masa Kini Itu Adalah Realiti. Lakukan Sebaiknya Pada Masa Kini, Jangan Sampai Masa Kini Menjadi Titik Mula Kehancuran Masa Depan.

Pandangan Kedua ;

Persoalan: ‘Bayangkan jika tiada alat mengukur masa’.

Sebaliknya bayangkan pula jika semua alat mengukur masa tidak berfungsi. Walau apa alat sekalipun, samada alat buatan manusia mahupun pengukur ciptaan Tuhan. 

Dapatkah anda menunggu ketibaan yang tak tahu waktunya. Dan bagaimana agaknya melakukan sesuatu, jika bermula entah bila, dan untuk berakhir pun entah bila? Juga, urusan apa perlu diteruskan lagi jika hari tak berganti. Haru juga keadaannya begini….., 

Pandangan Ketiga ;
Persoalan : Masa Yang Tiada Ujud

Di perantara titik mula dan titik akhir ujud ruang peristiwa. Peristiwa ada ketika menyentuh jiwa dan fikiran. Bagaimana agaknya menyukat masa yang ujud dalam jiwa dan fikiran ?

Apakah sukatan mengukur masa sayang, jika ruangnya melepasi titik perpisahan. Apakah sukatan mengukur masa perjuangan jika ruangnya bukan hanya di medan tempur. Apakah sukatan mengukur masa kemaafan jika kemarahan tiada berpenghujung. Ruang dalam jiwa dan fikiran adalah ruang masa yang tanpa sukatan. 

***********************
Yang Dikejar Tak Dapat Yang DiGendong Berciciran. Ini Bukan Pepatah Tentang Masa. Benar ! Tapi Bagi Saya Ini Adalah ;
PEMBAZIRAN MASA

Tuesday, May 5, 2009

PERGERAKAN MASA

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Lihatlah Pada Matahari.

Sinarnya hadir di siang hari. Sirnalah ia dijemput malam.

Lihatlah Pada Bulan.  

Wajahnya Sabit di saat muda. Menjadi Purnama menjelang dewasa.

Lihatlah Pada Bintang.

Kerlipannya indah menghias malam. Hilang kilaunya pabila siang.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Hitunglah Hari.

Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Raikanlah Bulan Kebesaran. 

Berpuasa di bulan Ramadhan, saling bermaafan di pagi Syawal. Tunaikan Haji di bulan Zulhijjah.

Sujudlah.  

Seawal sebelum fajar terbit. Mulakan dengan Subuh.  Susuli dengan Dzohor, Asar, Maghrib dan akhiri dengan Isyak.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Di saat ,

Alam telah berubah rasa.  Panas, Sejuk, Luruh dan Bunga berganti musim.

Di saat,

Kalender bertukar tarikh. Ada temujanji mahu dipenuhi.

Di saat ,

Takwim bertukar rencana. Ada urusan mahu dibereskan.

Di saat ,

Dairi mencatat pengalaman. Ada kenangan mahu dirakamkan.

 

BEGITULAH CARA MERASA PERGERAKAN MASA

Merasa akan peredaranya terjadi di LUAR DIRI. Merasa akan pergerakannya  terjadi dalam edaran ORBIT. Namun, jika demikian cara merasakannya. Di manakah letaknya masa? Apakah masa  tiada dalam diri. Demikian juga, jika geraknya itu umpama melintas orbit. Di manakah titik hentinya masa.

Dapatkah dirasakan, semakin hari kulit semakin kendur, mata semakin kabur,  rambut semakin banyak yang gugur dan badan sudah semakin uzur.  Kerana diri sudah  semakin BERUMUR.

Itulah pergerakan masa sebenar. Pergerakan masa yang berada DALAM DIRI. Pergerakan masa tanpa melintas ORBIT. Kerana yang bergerak dalam masa itu adalah USIA. Usia hidup berhenti pada titik kematian. Maka jika mahu merasa bahawa masa itu sedang bergerak.  Sedarilah perjalanan Usia, kerana perjalanan usia adalah perjalanan masa.

Sunday, May 3, 2009

PERCAYA ATAU TIDAK

Terserempak dengan seorang pakcik, lalu bertanya kepadanya. Ramai juga yang hadir pakcik?  Banyak betul kerusi kosong Nak…, mungkin kalau 200 orang tu adalah. Berdetik di hati, sikitnya! Hebaan bukan main, sana-sini banner saja bergantungan.

Terserempak lagi dengan seorang pakcik, berumur sedikit dari yang pertama. Soalan lain diajukan. Dapat sumbangan apa pakcik? Sambil menunjukkan beg plastik di tangan, inilah Nak…, beras 10 kilo, gula 5 kilo dan kopi 1 kilo. Oooo begitu. Dalam hati berkata, mesyuarat semalam bukankah disebut  ada bantuan RM 200.00,  mana sudah perginya?

Keesokannya, pada halaman tiga media melaporkan.  Seramai 500 orang penduduk kampung telah menghadiri Majlis MENABUR BUDI. Tambah penulis lagi,  seramai 100 orang keluarga miskin telah menerima  bantuan wang tunai sebanyak RM 200.00

 PERCAYA yang mana?  Lain Dicakap Lain Dibuat .

Ini satu berita. Kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang lelaki dalam lingkungan usia 40an. Peristiwa itu diceritakan seseorang, ada pandangan diberi.  Katanya, malu juga kalau mati begitu. Mati melarikan perempuan.

Sebaliknya cerita orang ini. Menurutnya, kesian lelaki itu.  Betapa dia telah  bersusah payah untuk menyelamatkan perempuan yang ditemuinya dari membunuh diri. Akhirnya dia yang terbunuh. Dia dijemput mengadap Ilahi semasa perjalanan menghantar perempuan itu ke rumah orang tuanya.

Lain pula nada seorang ini. Dia juga menyaksikan kejadian itu. Selesai ceritanya,  dalam keluhan dia berkata.  Nasib manusia siapa yang tahu.  Kalau umur sudah sampai, dalam tidur pun boleh mati.

PERCAYA yang mana?  Peristiwa sama, lain-lain cerita.

PERCAYA pada cerita? Sebenarnya hanya ada dua cerita. Cerita BENAR dan Cerita BOHONG. Maka itu, diperingatkan kepada yang bercakap. Seperti ini bunyinya;  ‘Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut badan binasa’.  Lantas,  lebih baik diam dari lidah bercabang.

Benar, lidah itu ibaratnya lebih tajam dari pedang. Kerana jika lidah melukakan darahnya di hati. Tidak seperti pedang lukanya nampak di mata. Maka bila berbicara, perlulah beradab dan tahu untuk apa? Lihat pada isinya, apakah  kebenaran atau kepalsuan. Maksud ini kena jelas dan mengerti, kerana sisi kebenaran dan kepalsuan itu berbeda. Jika kebenaran itu membangunkan maka kepalsuan itu pasti menghancurkan. 

Apakah bercakap satu kebebasan?  Yang pasti  orang memang suka bercakap untuk bercerita tentang dirinya dan sianu, tentang itu dan ini.  Mereka memuji,  mereka juga mengeji. Ada yang elok kata-katanya tapi  ada juga jenis mengadu domba, merata menabur fitnah. Ada yang walau kebenaran menghindari sumpah, tapi ada yang penuh keberanian dalam kepalsuan  mereka bersumpah.

Itulah orang.  Ada saja yang mahu dia cakapkan . Mereka bercakap apa yang mereka fikir. CAKAP mereka adalah FIKIRAN mereka. Oleh itu, bukan semua PERCAKAPAN orang sama nilainya. Namun siapapun bercakap, jika mereka bercakap, apa kata mereka, tak kuasa kita mengawalnya. Tapi kita yang mendengar,  mahu PERCAYA atau TIDAK PERCAYA  pada cakap mereka itu kuasa kita.

PERCAYA atau TIDAK PERCAYA boleh menjadikan kita baik. Tapi  tidak mustahil PERCAYA atau TIDAK PERCAYA boleh menjadikan kita rosak.

Wednesday, April 29, 2009

HAYAT

‘Selagi HAYAT Di Kandung Badan’.  Biasakah mendengar ungkapan ini ? Agaknya begitu. Ungkapan ini sering berganding dengan kata ikrar dan janji. Ada yang berbunyi ‘Selagi HAYAT di kandung badan akan ku serah jiwa dan raga’. Menyelami  konsep yang tersirat di sebalik kata itu…..,  Rupanya penyerahan jiwa dan raga bukan  untuk selamanya.  HAYAT membataskan.

Batas HAYAT!  Apakah HAYAT itu bermakna usia atau umur? Jika benar, ertinya   HAYAT adalah jadual tentang tempoh hidup. Perihal tempoh yang relatifnya  panjang atau pendek.  Bergantunglah,  selama mana nyawa tidak meninggalkan  jasad.

Jika berpeluang menentukan HAYAT. Berapa lama yang kita mahukan? Untuk  seseorang yang punya insan dicintai,  tentunya dia mendoakan agar HAYAT insan tercinta itu panjang. Dapatlah kasih sayang darinya terus mengalir menghidupkan cintanya. HAYAT yang panjang untuk pemimpin yang adil, menjadi harapan para rakyat jelata. Adilnya dia didambakan untuk  terus mendamai sengketa, membela yang tertindas, merapatkan jurang di antara papa dan kaya. Saat HAYAT berakhir,  kedengaran tangisan meratapi. Sebesar manapun ratapan, tidak tertahan HAYAT yang pergi.  Tiada  yang boleh   menentukan panjang atau pendeknya HAYAT sesiapapun,  hatta  HAYAT diri sendiri melainkan kuasa Illahi.

Maka jika tidak punya kuasa menghadkan waktu HAYAT.  Apa yang bisa kita tentukan dalam HAYAT ini?  Merungkai persoalan ini,   dialihkan sedikit erti HAYAT dari tafsiran usia atau umur.  Sekadar memetik kesah,

Ini kesah hayat seorang jejaka,  memperisterikan si dara jelita pujaannya. Kini dia adalah suami. Jejaka itu punya satu lagi tanggung jawab, itulah isterinya.

Ini kesah hayat seorang dara jelita, setelah pernikahannya kini dia adalah Isteri.  Sedemikian  dia sebagai isteri, mendapat tanggungjawab baru menyerikan hidup sang suami.  

Kesah hayat mereka dikhabarkan  dengan berita gembira. Suami Isteri itu bakal menimang cahaya mata. Kini  mereka bergelar ibu dan ayah. Berkembang lagi tanggungjawab mereka pada  bayi comel yang dinanti-nanti.

Anak kecil itu semakin besar dan dewasa. Sangat cerdik aqalnya,  sangat baik pekertinya. Di zaman pengajiannya, di bangku sekolah mahupun di menara gading dia bergelar ketua dan pemimpin.  Sekarang dia telah bertugas bersama  para pentadbir negara. Kerana ketokohan dan dirinya yang berjiwa rakyat. Nah! sekarang jawatannya bukan kecil tapi sudah taraf menteri……,

Dari pengkesahan ini, tentu ada makna lain bagi  HAYAT, tanpa menafikan tentu  ada perspektif  yang lebih tepat.  Namun memadailah untuk menyakini, walau tiada kuasa menentukan HAYAT tapi mengatur dan mengurus HAYAT adalah kewajiban.

Dalam penafsiran ini, diertikan bahawa  HAYAT  itu adalah urutan titik transformasi diri. Tranformasi diri yang beramanah pada pertangungjawaban. 

Perjalanan HAYAT sememangnya tidak simetri di antara sesiapa pun. Tapi perlukah ada irihati pada mereka yang berHAYAT lama. Bukankah telah dikhabar tentang kejadian manusia yang bukan sia-sia. Janganlah menghitung-hitung lamanya usia kerana jika direnung  HAYAT ini cuma antara dua tangisan. Tangisan pertama ketika lahir ke dunia ini dan tangisan ke dua ketika meninggalkan dunia ini. 

Sunday, April 26, 2009

YANG ADA DAN YANG TIADA

Yang Ada Di Hadapan Dan Tak Akan Pernah Ada Di Belakang Adalah;

Masa Depan,  Impian, Harapan

&

IKHTIAR

Yang Ada Di Belakang Dan Tak Akan Pernah Ada Di Hadapan Adalah

Masa Silam, Kenangan, Pengalaman

 &

NASIB

 

Jika Berkata Tentang Di hadapan Dan Di belakang. Berkatalah Antaranya;

Pertama; Di belakang memang itu NASIB saya, tapi di hadapan itu bukan  NASIB saya.

Kedua; Di belakang memang itu bukan IKHTIAR saya, tapi di hadapan tentu itu   IKHTIAR saya.

*****************************

Berkatalah apapun,  tentang Yang Ada &  Yang Tiada Di Hadapan atau Yang Ada & Yang Tiada Di Belakang. Sebenarnya itu membicarakan soal Laluan Kehidupan. Jika terhalang laluan ini, ia  bukan kerana duri sembilu atau jurang nan dalam. Lantas jika menjejaki laluan ini pandanglah dengan mata hati, bukan kerana mata kasar  tidak mampu melihat. Kerana mata hati itu adalah penglihatan dalaman. Walau   dirasa duri sembilu itu tajam, tak akan terlawan tajamnya mata hati. Itulah Yang Ada pada mata hati dan Yang Tiada pada mata kasar.