Wednesday, April 29, 2009

HAYAT

‘Selagi HAYAT Di Kandung Badan’.  Biasakah mendengar ungkapan ini ? Agaknya begitu. Ungkapan ini sering berganding dengan kata ikrar dan janji. Ada yang berbunyi ‘Selagi HAYAT di kandung badan akan ku serah jiwa dan raga’. Menyelami  konsep yang tersirat di sebalik kata itu…..,  Rupanya penyerahan jiwa dan raga bukan  untuk selamanya.  HAYAT membataskan.

Batas HAYAT!  Apakah HAYAT itu bermakna usia atau umur? Jika benar, ertinya   HAYAT adalah jadual tentang tempoh hidup. Perihal tempoh yang relatifnya  panjang atau pendek.  Bergantunglah,  selama mana nyawa tidak meninggalkan  jasad.

Jika berpeluang menentukan HAYAT. Berapa lama yang kita mahukan? Untuk  seseorang yang punya insan dicintai,  tentunya dia mendoakan agar HAYAT insan tercinta itu panjang. Dapatlah kasih sayang darinya terus mengalir menghidupkan cintanya. HAYAT yang panjang untuk pemimpin yang adil, menjadi harapan para rakyat jelata. Adilnya dia didambakan untuk  terus mendamai sengketa, membela yang tertindas, merapatkan jurang di antara papa dan kaya. Saat HAYAT berakhir,  kedengaran tangisan meratapi. Sebesar manapun ratapan, tidak tertahan HAYAT yang pergi.  Tiada  yang boleh   menentukan panjang atau pendeknya HAYAT sesiapapun,  hatta  HAYAT diri sendiri melainkan kuasa Illahi.

Maka jika tidak punya kuasa menghadkan waktu HAYAT.  Apa yang bisa kita tentukan dalam HAYAT ini?  Merungkai persoalan ini,   dialihkan sedikit erti HAYAT dari tafsiran usia atau umur.  Sekadar memetik kesah,

Ini kesah hayat seorang jejaka,  memperisterikan si dara jelita pujaannya. Kini dia adalah suami. Jejaka itu punya satu lagi tanggung jawab, itulah isterinya.

Ini kesah hayat seorang dara jelita, setelah pernikahannya kini dia adalah Isteri.  Sedemikian  dia sebagai isteri, mendapat tanggungjawab baru menyerikan hidup sang suami.  

Kesah hayat mereka dikhabarkan  dengan berita gembira. Suami Isteri itu bakal menimang cahaya mata. Kini  mereka bergelar ibu dan ayah. Berkembang lagi tanggungjawab mereka pada  bayi comel yang dinanti-nanti.

Anak kecil itu semakin besar dan dewasa. Sangat cerdik aqalnya,  sangat baik pekertinya. Di zaman pengajiannya, di bangku sekolah mahupun di menara gading dia bergelar ketua dan pemimpin.  Sekarang dia telah bertugas bersama  para pentadbir negara. Kerana ketokohan dan dirinya yang berjiwa rakyat. Nah! sekarang jawatannya bukan kecil tapi sudah taraf menteri……,

Dari pengkesahan ini, tentu ada makna lain bagi  HAYAT, tanpa menafikan tentu  ada perspektif  yang lebih tepat.  Namun memadailah untuk menyakini, walau tiada kuasa menentukan HAYAT tapi mengatur dan mengurus HAYAT adalah kewajiban.

Dalam penafsiran ini, diertikan bahawa  HAYAT  itu adalah urutan titik transformasi diri. Tranformasi diri yang beramanah pada pertangungjawaban. 

Perjalanan HAYAT sememangnya tidak simetri di antara sesiapa pun. Tapi perlukah ada irihati pada mereka yang berHAYAT lama. Bukankah telah dikhabar tentang kejadian manusia yang bukan sia-sia. Janganlah menghitung-hitung lamanya usia kerana jika direnung  HAYAT ini cuma antara dua tangisan. Tangisan pertama ketika lahir ke dunia ini dan tangisan ke dua ketika meninggalkan dunia ini. 

No comments:

Post a Comment