Monday, February 15, 2010

Friday, February 12, 2010

TERIMA KASIH


Melafazkan TERIMA KASIH tidak mungkin boleh menggambarkan besarnya satu-satu pemberian. Kerana TERIMA KASIH semata tiadalah menzahirkan rupa pemberian yang diterima. Melainkan mengubah sedikit nada lafaznya atau menambah besar sifatnya. Seperti contoh begini mungkin;
Terima kasih banyak !
Terima kasih banyak-banyak !
Terima kasihlaaaa..
Ada pula berkata begini ; Terima kasih daun keladi kalau sudi beri lagi.
Terima kasih begini maknanya budi bahasa.


Apapun pada saya TERIMA KASIH itu balasan rasa. Sifatnya ada dihati….Dan saya mahu mengambil peluang hari ini untuk menyatakan rasa setinggi-tingi Terima Kasih saya kepada…,

Yang Berilmu dan sangat bertekun. Pengetahuan mereka sungguh luas dan amat mendalam. Mereka giat berkarya. Walau karya mereka mencecah nilai ratusan ringgit atau walau apapun niat disebalik karya itu, bukanlah itu jadi perkiraan. Kerana masih boleh bertanya “Kenapa bijaksana tidak ditimbang jika mahu memilih teman memberi pedoman?”

TERIMA KASIH BUAT PARA PENULIS.

Wednesday, February 10, 2010

BEGITUKAH ?

Dalam perjalanan menuju ke kereta saya melintasi dua orang lelaki, mereka cuma berkereta lama malah usang. Rupanya mereka berjualan hari itu. Berniaga ikut musim katakan, kebetulan musim durian, maka durianlah yang dijual.

Kaki saya terhenti dan mata saya terpaku melihat nasib menimpa....,

Beberapa orang petugas beruniform tanpa simpati memasukkan semua durian jualan mereka ke dalam karung lalu memunggahnya kedalam lori, Nampak seolah berkuasa sangat mereka. Setelah habis semua durian dipunggah, mereka pun beredar, tanpa sebarang isyarat malah bermuka bengis. Tinggallah si penjual duduk termenung…, lalu perlahan-lahan mereka melipat alas jualan yang tinggal kosong...

Saya memikirkan perasaan mereka. Mungkinkah mereka menangis dihati. Alangkah sedihnya jika jualan hari itu hasilnya untuk membeli ubat isteri yang sedang sakit, menyara anak yang masih ramai bersekolah, mengganti atap rumah yang bocor…..

Detik hati ;
BEGITUKAH HIDUP yang penuh peraturan…

Yang susah semakin susah. Jika mahu senang pun disusahkan.
Sebaliknya
Yang berkuasa semakin berkuasa. Mahu senang guna saja kuasa.