Sunday, April 12, 2009

TAHU BERTANYA & MENCARI JAWABAN

Mana satukah madrasah terbaik di dunia ini mampu memberikan ilmu sehingga lahirnya seorang manusia muslih walau siapa pun asal mereka? Jawapan  terserah. Cuma….,

Sejenak mengajak berfikir tentang  Pokok Tanpa Buah

Soalan: Kenapa pokok tak berbuah? 

Jawapan: (a) Tanah tak subur (b) Benih pokok tak subur (c) Baja tak cukup   (d) Air tak cukup. Pilihlah, mungkin ada salah satu jawapan itu betul atau semuanya betul.  Tapi kalau semua jawaban itu tidak  betul? Usahalah sehingga mendapat jawaban yang betul……,

Soalan: Pokok pun tak kesah dia berbuah atau tidak, kenapa pula mahu bersusah payah memikirkannya ?

Jawaban: Habis, manusia kalau tak berfikir bagaimana  dapat menikmati lazatnya buah?

Soalan: Jadi kalau manusia mahu menikmati rasa buah kenalah berfikir, begitu?

Jawaban: Bukan itu saja, Manusia  kalau Tak Berfikir pun sama macam Pokok Tak Berbuah.

Soalan:   “ILMU TANPA AMAL umpama POKOK TANPA BUAH,  itukah maksudnya?

***********************************

Kenapa pokok tak berbuah? Secara saitifik permasalahan ini boleh diterangkan.  Tetapi perkaitan antara pokok tanpa buah dengan Ilmu tanpa amal, bukan penjelasan saintifik. Lagipun tidak semua perkara maujud mempunyai alasan saintifik.

Ini sindiran sinis. Tanpa dicemuh, dicaci atau dihina taraf manusia disamakan dengan pokok. Hanya kerana manusia punya Ilmu tapi tidak mengamalkannya.  Mujur bukan pokok yang mengumpama perkara ini,  tetapi manusia. Maknanya, manusia boleh lagi menyedari kekurangan sendiri. Kesedaran tentang mengapa mereka tidak mengamalkan Ilmu yang dimiliki?

Ilmu tanpa pilih kasih boleh dimiliki oleh sesiapa pun.  Tapi keadaan Ilmu itu duduk  dalam diri seseorang  bergantung kepada cara mendapatkannya. Jika Ilmu adalah hasil tawaran wang ringgit atau dari ciplak semata, tanyalah samakah nanti makna Ilmu yang tiba, dengan mereka yang amat bertekun dengan Ilmu.  Jika tidak, tidak mustahil  pengamalan  ilmu itu bukan senada semangatnya. Mempelajari llmu harus punya rasa tanggungjawab. Seperti menerima satu amanah yang perlu disampaikan kepada tujuannya. Kerana perjalanan  kearah tujuan itu adalah perjalanan ilmu mencapai amal.

Ilmu yang benar itu punya beberapa sifat. Bukankah Ilmu itu sifatnya menyelesaikan dan membaikkan. Bagaimana jika manusia sambil lewa sahaja dengan masalah  dan  ala kadar pula melakukan sesuatu perkara.  Dengan respon seminima itu, tentunya Ilmu menjadi longgar, kerana tidak perlu kepada hasil yang memuaskan.

Ilmu yang benar itu tinggi sifatnya. Seperti juga manusia, kedudukan mereka tinggi dengan maruah yang terjaga. Namun jika manusia sering menjatuhkan dirinya, bagaimana Ilmu berkembang mekar.  Kerana menjatuhkan diri adalah melawan dan musuh kepada makna Ilmu yang sedang terbina. Pasti tiada amal jika Ilmu mengalami kehancuran dalam diri.

Carilah garisan yang mengenalkan sempadan antara dua pertentangan. Garisan itu tentulah Ilmu. Kerana dalam Ilmu ada nilai. Nilai yang memisahkan antara baik dan buruk. Antara manfaat dan mudharat. Tapi jika diri menjadi seperti lembu dicucuk hidung hanya menurut telunjuk  malah menyanjung tanpa batas,  Ilmu akan lenyap nilainya di dalam diri. Tiada keberaniaan adalah proses pelunturan makna Ilmu yang berada dalam diri.  Ilmu yang luntur , amal tentunya pudar.

Dalam satu peristiwa, seorang Santis  mengesyorkan kaedah terbaru supaya betik yang telah ditanam oleh seorang pekebun berbuah.  Berubah air muka Saintis, bila penanam betik berkata; betik jantan tuan, buat apapun tak jadi. Inilah namanya pengalaman. Masalahnya ada ketika dengan teori kita rasa jadi serba boleh.  Katak di bawah tempurung hanya mengenal realiti tempurung. Realiti serba selesa dan tak  perlu lagi berbuat apa-apa. Hidup jika tiada pengalaman baru hanya mengulang-ngulang  perkara yang lama dan sama.  Ilmu tanpa pengalaman baru dan tanpa cabaran tentulah terencat mendewasakan amal.

Demikianlah beberapa jawaban……

Rupanya  alam dan kehidupan ini adalah madrasah terbaik, juga bagai taman yang semerbak harum dengan wangian  Ilmu.  Di  sini siapa pun layak  beroleh  Ilmu.  Hanya dengan prasyarat  minima ‘tahu bertanya’ dan ‘mencari jawaban’.

 

No comments:

Post a Comment