Monday, April 6, 2009

PENGARUH YANG BERPENGARUH

Detik awal menjadi warga mukabumi ini siapakah yang kenal diri kita? Tiada melainkan Ibu, walaupun bukan dia yang pertama menatap wajah kita. Dan Ayah barangkali, jika menemankan ibu di saat melahirkan, tetapi bidan sudah tentu.  Maka episod meniti jambatan kehidupan pun bermula dan untuk satu tempoh kehidupan kita tidak berupaya berbuat apa, walaupun untuk diri sendiri.  Semuanya dipinta dan diluah dengan tangisan.  

Tapi kini kalangan kita ada yang muncul sehingga hampir seluruh mata memandang tatkala melintas, hampir seluruh telinga mendengar tatkala berkata. Terkenal ! Dipuji, dikagumi, dihormati.  Merata, nama jadi sebutan. Seumpama ada satu megnet dalam diri yang punya kuasa tarikan. Waspadalah dengan kuasa diri jangan sampai yang lain tunduk meminta-minta. Sedih jika begini ! Kelak diri biarlah menjadi teladan sepanjang zaman, menjadi ikutan setiap insan.

Dalam hidup kita punya kawan tapi kita juga akan punya lawan. Kenapa? Itulah PENGARUH.Memiliki PENGARUH hak semua. Siapa pun asalnya kita, anak si miskin atau si buta tetap punya PENGARUH. Bezanya bagaimana PENGARUH  terbina dan BERPENGARUHkah PENGARUH itu.

Diri manusia secara semulajadi punya PENGARUH yang terbit dari pancaran jiwa dan minda. Yang zahir dalam bentuk ilmu dan adab. Kualiti zahir diri seperti kesenangan hidup yang diusahakan kerana qudrat dan iradat diri merupakan satu lagi PENGARUH.  Mata kasar menggunakan PENGARUH ini sebagai pengkelasan sosial.  Penghargaan pada diri memberikan satu lagi PENGARUH anugerah. Ia menjadi balasan kepada karya diri yang telah menyempurnakan  tugas dan peranan.  Tapi…….

PENGARUH bukan semua bernilai sama. Diri akan tegar dengan kekuatan ilmu dan adab. Dengan anugerah, kadang menjadi khilaf. Sepertinya manusia ada kelas-kelas tersendiri. Tawar menawar menjadi  lumrah.  Oleh itu janganlah rasa terhina jika hanya punya ilmu dan adab, jika punya qudrat dan iradat tapi tidak punya gelaran  terhormat.

PENGARUH yang BERPENGARUH, apakah maksudnya? Bagaimanakah kaum Hawa mendapat kemuliaan di mata kaum lelaki Jahiliah. Setelah datangnya Utusan. Setelah berjayanya  perkhabaran dari langit menewaskan tuhan berhala maka anak perempuan yang lahir tidak lagi ditanam hidup-hidup. Itulah mungkin ertinya BERPENGARUH. Lalu Utusan itu menjadi teladan walau manusia berganti zaman.  Patah tumbuh, hilang berganti. Persoalannya manusia seperi Firaun perlukah  ada pengganti.

BERPENGARUH bukan sekadar berpengikut. Tapi menawarkan Kemanfaatan hidup kepada seluruh isi alam. Jika digelar Bapa Pembangunan sedang pasak bumi runtuh, kehijauan bertukar gersang tidakkah itu merosakkan. Lalu bagaimana alam ini memberi manfaat.  Maka bicarakanlah PENGARUH yang baik agar tidak jatuh kejurang kehancuran.

BERPENGARUH dengan baik itu bilamana  PENGARUH itu membina  sempadan  kualiti. Menyaring dan memisahkan;  antara kebenaran dan kebatilan, antara kerohanian dan kebendaan,  dan antara pahala dan dosa. Dan bilamana PENGARUH itu menyuburkan kebenaran merencatkan kebatilan, mengagungkan kerohanian menghambakan kebendaan, dan mendekatkan pahala dan menjauhkan dosa.

Berharta tiada maknanya jika pada si ‘bakhil’. Berkuasa tiada hebatnya jika pada si ‘zalim’. Berilmu tidak nilainya jika pada si ‘pendusta’. Pangkat tiada kedudukannya jika pada si ‘pemeras’.  Justeru jika menjadi manusia BERPENGARUH harus dulu mengenal kualiti.

PENGARUH bagai  empayar. Dan kita perlu empayar itu,  kerana kita manuasia punya tanggungjawab. Terserah kepada diri untuk membina samada empayar ilmu, adab, harta, kedudukan atau pun pangkat. Yang pasti tanggungjawab akan menjadi kaku; jika Seperti Melukut Di tepi Gantang, Hadir Tak Menambah, Pergi Tak Mengurang.  Ada PENGARUH tapi tidak BERPENGARUH.

No comments:

Post a Comment