Saturday, April 18, 2009

BARIS

Sedang BARIS menunggu giliran. Bosannya, angka di tangan nombor  ‘30’ di paparan  nombor ‘10’. Maknanya  kena tunggu 20 orang lagi. Mujur ada kerusi,  tak perlu berdiri menunggu. Tapi duduk pun tetap BARIS juga namanya.

Kelmarin menghadiri program Diskusi. Ramai yang memenuhi undangan.   Jamuan buffey style, untuk makan kena BARIS juga walau selapar mana sekalipun.  Masuk wash room  BARIS lagi.

Hari ini ada perhimpunan. Di bawah sinar mentari pagi semua berdiri tegak penuh semangat. Mata merenung seolah tak berkelip memandang  kibaran Jalur Gemilang.  Seluruh alam bagai tertawan oleh lagu Negara Ku. Yang ini lagilah kena BARIS.

Esok, berfikir naik apa, kereta masuk workshop. Tumpang kawan tak dapat. Gayanya naik bas lah ke pejabat. Tunggu bas, tetap BARIS lagi nampaknya. Jalanraya sesak. Lampu merah sana sini. Begitulah, dalam kereta pun BARIS.

Rupanya  hidup ini sepanjang masa BARIS.  Tidak kelmarin, hari ini.  Tidak hari ini, esok. Alangkah beruntungnya bagi  yang  punya pangkat dan kedudukan lagi ternama. Walau lewat akan didulukan. Begitukah namanya keberuntungan?  Sebaiknya, BARIS lah penuh adab. Jangan ambil tempat orang.  Jangan potong jalan orang.

Menjimatkan masa BARIS, buatlah temujanji. Namun bukan semua urusan menyediakan temujanji. Apapun, itulah BARIS kerana Urusan. Sesiapapun akan mengalami semuanya kerana urusan.  

Mudahkah BARIS ? Belum tentu ! BARIS itu menyusuri onak dan duri. Mungkin juga berulit getir. Jika mahu menduduki tempat dalam BARIS itu, tiada pilihan melainkan dari jerit perih penuh pengorbanan dan kesabaran. Itulah BARIS sebagai Ilmuan, Karyawan, Dermawan, Budiman,  Seniman. Juga seangkatan dengannya tanpa  disenaraikan.

BARIS sebagai golongan terpilih. Memikul amanah memartabatkan Agama, bangsa dan negara.  BARIS lah penuh keinsafan di sini,  kerana BARIS ini adalah nyawa kehidupan bermaruah. Jagalah BARIS ini, jangan dicemar dek meminta-minta balasan, dek mengejar ganjaran. 

Orang itu tak terkira hartanya, tapi matanya tidak pernah memandang pada si miskin.  Sesekali memandang juga hanya kerana disiar. Begitulah  dia,  BARIS sebagai orang  kaya raya. Tapi dia tidak BARIS dalam BARIS Dermawan. Ternyata bukan semua BARIS  itu mudah.

BARIS jangan pada mata kasar sahaja. Kelak tak menemui BARIS yang tersirat. Bukalah mata pada sekeliling.  Di sini terlihat si muda rupawan  bersama si muda tampan. Samar di sana  terlihat  si tua, lemah qudratnya membuat kerja. Lihatlah lagi.  Itulah BARIS Usia.

BARIS itu punya sifat. Bertambah tak akan mengurang. Meningkat tak pernah menurun. Kerana BARIS nya untuk meluaskan lapangan. Sebagai ruang  merimbun ilmu,  menyuburkan amal dan merimpunkan bakti.  Jagalah BARIS ini, kerana keberuntungan BARIS itu sebenarnya di sini.

Keberuntungan tanpa menurut si tua atau  si muda. Juga tanpa  berpihak kepada yang  baru atau lama. BARIS itu nanti di bawa mengadap Pencipta. Panjang atau pendeknya BARIS itu, bukan menjadi jarak dengan Pencipta. Yang terkandung dalam BARIS itulah  menentukan jarak.  Jarak yang tanpa sempadan InsyaAllah Syurgalah kedudukannya. Maka marilah kita mengatur BARIS ini sebaiknya………

No comments:

Post a Comment