Friday, April 10, 2009

SANGKA

Awan berarak lesu, tapi langit tidak berwajah suram. Tentu cuaca baik hari ini.  Ribut pun tidak menendang telinga, tiada juga petir memanah mata. Tak  SANGKA Hujan Di Tengahari.

Demikian ceritanya. Sesuatu yang tak disangka berlaku. Siapapun tak  menyangka begitu kesudahannya. Maka emosi berubah rentak dan rasa mula berantakkan. Meletus kemarahan, kadang terdengar ada berkata; Ku Harap Pagar, Pagar Makan Padi. Sangkaan jika seperti diharapkan, tentu tiada keraguan dan kebimbangan. Semua akan mengikut rencana. Tapi ingatlah, jika lidah bercabang tidak mustahil  ada  yang  menyimpang.  Tiada terhalang sangka yang bukan-bukan?

Sering terdengar mereka berkata ‘Saya SANGKA, rupa-rupanya…….’ Manusia memang  begitu.  SANGKAnya berjenis rupa selagi mata melihat dan telinganya mendengar. Tapi perlu sedar dan waspada pada sempadan SANGKA. Sangka kepada manusia andai tersilap boleh menyusun jari  sepuluh tapi terlanjur buruk padanya.  Namun Sangka kepada Tuhan jika tersasar, walau seluruh jasad bukan perundingan.

‘Ku sangka panas  hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Hujan berhenti hanya Tuhan menentukan. Jika panas tak sampai ke petang pun, bukan bermakna Tuhan silap. Malangnya, ungkapan ini sering dikiaskan  manusia bila harapan tersasar. Adakah ini sesuai? Sedangkan andai janji tak tertunai, hajat tak tercapai dan harapan tak kesampaian, itu silap Manusia dan bukan silap Tuhan. Tuhan tak pernah silap kepada Manusia,  tapi Manusia  silap walau kepada diri sendiri.

Maka renunglah  sejenak, sesal dan duka Manusia jangan sampai menjadikan rencana Tuhan sebagai kiasan. Kerana urusan Tuhan tidak seperti urusan Manusia. Sangkalah apa pun kepada urusan Manusia. Tapi urusan Tuhan hanya ada satu Sangka; Sangka Baik.  

Beringatlah, Janganlah Bersangka Kepada Allah seperti Kita  Bersangka Kepada Manusia.

Wallahualam…..,

No comments:

Post a Comment