Friday, September 16, 2011

BUDI


Jika diajukan soalan kepada anda, kenapa anda bangga bernegarakan Malaysia?
Apa agaknya jawapan anda? Sudah pasti banyak perkara menjadi sebabnya.

Meneliti kepada jawapan diberi, wajar juga difikirkan apakah rasa bangga hidup bernegarakan bumi Malaysia bertuah ini kerana ada hasil dinikmati dari apa yang telah kita lakukan. Atau barangkali kerana ada hasil dinikmati dari apa yang orang lain telah lakukan.

Sukar rasanya menafikan bahawa antara sebab rasa bangga kita itu memang kerana BUDI orang lain. Demikianlah sememangnya negara ini milik bersama, ramai orang mahu berbudi "walau dengan cara sendiri".

Janganlah kita menyukat-nyukat budi orang lain , apatah lagi menghukum cara orang lain berbudi. Yang utama pada hayat kita ini, ialah apakah budi yang bakal kita tinggalkan.

SELAMAT HARI MALAYSIA.


- Posted from my iPad

Monday, September 12, 2011

PUISI PILIHAN

Petikan semula;
Bacalah Puisi Ini Sebagai Nasihat;

Orang Kecil jika ikhlas
diperas
Jika diam
ditikam
Jika protes
dikentas
Jika usil
dibedil

Orang Kecil jika hidup
dipersoalkan
Jika mati
tak dipersoalkan
Lebih baik jadilah orang besar
Baginya selalu besar

Orang Besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan

Orang besar boleh bicara semuanya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja
Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurang ajar
Orang besar kurangajar dikata berani
Orang kecil memperkatakan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar


- Posted from iPad

Friday, September 9, 2011

Kata Si Kerdil


Hebat Orang sekarang !

Jika Berlawan pedang mahunya dengan si kudung
Jika Berlawan memanah mahunya dengan si buta
Jika Berlawan lumba mahunya dengan si tempang
Jika Berlawan syair mahunya dengan si bisu

Dan
Sungguh! mereka tentunya mendapat lawan itu
Bila telunjuk menyuluh kuasa

Lalu
Seorang kerdil mengutara bicara
Dia berkata
"Rupanya bila kita berkuasa kita merasa sangat takut".


- Posted from my iPad

Thursday, September 8, 2011

BERGADUH

Apalah untungnya BERGADUH !
Tiada, merugikan saja.
Tapi orang asyik juga BERGADUH.
Sesama sendiri pun BERGADUH.
Siapa menang BERGADUH,
Maka Dia akan fikir dirinya kuat dan benar.

BERGADUH!
Itukah cara untuk membuktikan kekuatan dan kebenaran?
Sungguh silap,
Sesiapa saja yang berbangga kerana menang BERGADUH?

Siapakah yang hormat pada orang yang BERGADUH?


- Posted from my iPad"

Friday, August 19, 2011

MAKAN

Kenapa menahan lapar dan dahaga di bulan puasa ini pada sebahagian orang kesudahannya berakhir dengan selera pada pelbagai jenis makanan. Itu dan ini makanan mahu di makan? Malah ada yang sanggup berbaris dan bersesak-sesak nak dapat makanan yang dimahukan. Kadang terkejut juga nampak makanan yang tak pernah jumpa.

Apa mungkin kerana nikmat makanan itu tidak sama dengan kenyang? Makanan boleh saja mengenyangkan tapi nikamat pada makanan yang dicari belum tentu dapat....

tapi Ini bukanlah masalah besar sangat!

SELAMAT BERBUKA PUASA - Sudah 19 hari Ramadhan berlalu.

- Posted from my iPad

Tuesday, August 2, 2011

SIBUK BETUL

SIBUK BETUL! .

Hampir ramai kalangan yang dirinya Sibuk Betul setiap hari. Jadi bagaimana agaknya yang dikatakan Sibuk Betul itu? Jawapan ringkasnya tentulah "Betul-betul Sibuk". Tapi kalau dikatakan bukan "Main Sibuk" lagi, itu pun sibuk betul namanya. Itulah keadaan di mana banyak sangat kerja perlu dilakukan sehingga mengekang masa. Jika sekiranya tiada kekangan masa, walau banyak mana pun kerja perlu dilakukan masih belum sibuk betul namanya.

Saya sengaja menamakan SIBUK ini kepada dua jenis SIBUK. Pertama Sibuk Besar dan kedua Sibuk Kecil. Sibuk besar ini ialah bila kerja-kerja yang dilakukan memerlukan daya fikiran. Seperti sibuk membuat banyak assigment atau sibuk menghadiri meeting kesana kemari. Manakala Sibuk kecil ialah bila kerja-kerja yang dilakukan itu bersifat rutin. Seperti sibuk buat kerja-kerja rumah atau sibuk melayan pelanggan. Masih belum saya namakan jika berlaku keadaan di mana dua jenis sibuk ini berlaku serentak. Kenapa perlu sangat sibuk ini dinamakan? Tujuannya supaya kita tahu mengurus kerja mengikut kepentingan dan keutamaannya.

Persoalannya, kenapa jadi Sibuk Betul? Pertama banyak sangat tugas yang diberikan dan kedua memang banyak kerja yang kita sendiri mahu lakukan. Jika mencari siapakah kalangan yang berjaya kerana sibuk. Pada saya itulah orang yang berkemampuan membuat banyak kerja dengan baik dalam satu-satu masa yang ditentukan.


- Posted from my iPad

Monday, August 1, 2011

RENUNGAN

Salah satu dari dua akan berjumpa dalam hidupmu ini.

Pertama,
Engkau menjadi orang yang sempit faham, memandang dunia dari segi buruknya, kecil hati, pemarah dan menghukumkan segala sesuatu yang belum engkau kenal haram adanya. Kalau itu terjadi, maka agamamu itu tidaklah akan ada faedahnya bagi orang lain. Cahayamu hanya untuk dirimu sendiri.

Kedua,
Engkau perluas dadamu, perlapang hati, engkau pandang alam dari segala seginya. Engkau ukurkan ke dalam hatimu apa yang dirasai orang lain. Engkau ukur segala sesuatu dengan sebab dan musabab, dan engkau tambah ilmumu.
Di waktu seperti itu sajalah akan berfaedah agamamu bagi dirimu dan bagi orang lain. Di waktu semacam itu pulalah engkau bercahaya dan memberi cahaya.

Petikan semula dari seorang minda seorang penulis....

- Posted from my iPad

Wednesday, July 27, 2011

PETIKAN CERAMAH

Saya membicarakan soal KESETIAAN. Saya berkata Kesetiaan itu memperihalkan keutuhan suatu perhubungan. Justeru yang menjadi syarat kepada Kesetiaan itu adalah rasa Percaya. Dan saya mencontohkan bagaimana utamanya rasa Percaya itu dalam mengikat perhubungan, dengan mengemukakan pendapat berkisar pada hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Di mana hubungan itu juga dipaksikan atas rasa percaya. Sebagaimana yang diungkap dalam Rukun Iman, semua rukun yang enam dimulakan dengan Percaya.

Lantas saya menyoal, kenapa perlu Percaya? Kerana dalam Percaya ada harapan. Soal saya lanjut, apa boleh Kesetiaan itu diperoleh sedang rasa Percaya tiada lagi. Tidak dipercayai tentu maknanya tidak boleh diharap.

Setelah mengulas lebar saya mengertikan, kalau mahukan Kesetiaan janganlah dusta kerana dusta menghilangkan percaya. Kalau mahukan Kesetiaan janganlah mungkir kerana mungkir menghampakan harapan.



- Posted from my iPad

Wednesday, July 6, 2011

MENCABAR


Apa Sebenarnya Yang Sungguh Mencabar?

Adakah ia
Mendaki gunung yang tinggi?
Menuruni lurah yang curam?
Merentas laut yang luas?
Melawan ribut yang ganas.
Memanggil masa yang berlalu?

Atau adakah ia
Mencari gembira di dalam duka?
Mencari pujuk di dalam rajuk?
Mencari sabar di dalam marah?
Mencari setia di dalam derhaka?
Mencari dermawan di dalam bakhil.

Jika bukan, adakah ia
Menilik nasib ditapak tangan?
Mencari tuah ditaji ayam?

Apa lagi jika bukan juga!
Pernah katikanya diam terpaku, tangan menongkat kepala
Itulah Berfikir
Mencabar jika hendak membuahkan yang baru.


- Posted from my iPad

Thursday, June 23, 2011

Pendapat


Dua cara agar Manusia berterusan berulit kebodohan ialah;

Pertama;
Memenjarakan aqal mereka sehingga usang dengan pengetahuan lama yang sudah tidak produktif lagi.

Kedua;
Memagar aqal mereka agar tidak akses kepada maklumat-maklumat benar, yang tersaring masuk hanya maklumat-maklumat palsu yang berniat jahat.



- Posted from my iPad

Wednesday, June 22, 2011

SAJAK PILIHAN


DI NEGERI AMPLOP,

Di negeri amplop
Aladin menyembunyikan
Lampu wasiatnya. Malu.
Samson tersipu-sipu
Rambut keramatnya
Ditutupi topi. Rapi-rapi.
David Coperfield dan Houdini
Bersembunyi. Rendah diri.

(Entah andaikata Nabi Musa
Bersedia datang membawa tongkatnya)

Amplop-amplop di negeri amplop
Mengatur dengan teratur
Hal-hal yang tak teratur menjadi teratur
Hal-hal yang teratur menjadi tak teratur
Memutuskan putusan yang tak putus
Membatalkan putusan yang sudah putus
Amplop-amplop menguasai penguasa
Dan mengendalikan orang-orang biasa
Amplop-amplop membeberkan dan menyembunyikan
Mencairkan dan membekukan
Mengganjal dan melicinkan
Orang bicara bisa bisu
Orang mendengar bisa tuli
Orang alim bisa nafsu
Orang sakti bisa mati

Di negeri amplop
Amplop-amplop mengamplopi
Apa saja dan siapa saja.

(Amplop itu bahasa Indonesia, bererti envelope)

- Posted from my iPad

Tuesday, June 21, 2011

MERDEKA

"Perjuangan kemerdekaan tidak selesai dengan mengenyah kaum penjajah dari bumi pertiwi. Kemerdekaan tanah air hanya punya erti jika segera diikuti perjuangan mencapai kemerdekaan akal budi. Apa erti pekikan merdeka, andainya umat masih berminda anak jajahan, tidak memiliki sikap percaya diri, tidak mampu berfikir kritis, tidak yakin dengan keunggulan nilai-nilai agama dan budaya sendiri"

Petikan dari tulisan seorang intelektual yang dikagumi....

- Posted from my iPad

Thursday, June 16, 2011

MUNAJAT

"Ya Tuhan, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu nyata benar dan kurniakan kami kesanggupan mematuhinya. Juga perlihatkan kami kebatilan itu nyata batil dan kurniakan kami menghindarinya"

Ini munajat yang sering didengar berkumandang. Doa pagi yang terdahulu dibaca sebelum "orang pejabat" memulakan tugas mereka pada hari itu. Agaknya gejala apa sedang memperdaya manusia, lalu petunjuk pada kebenaran dan kebatilan itu bisa perlu dibimbing Tuhan. Dorongan apa lagaknya sehingga sanggup berangkara menukar-nukar wajah kebenaran dan kebatilan yang begitu mencelarukan.

Tanpa ulasan lanjut, padangan seorang tokoh tersohor sangat diyakini. Beliau menyebut tentang bagaimana orang kini sudah "MENGILMIAHKAN PEMBOHONGAN". Menyokong pendapat itu katanya lagi "seringkali terjadi demi nafsu fakta keilmuan dipalsukan. Dan pembohongan dikemas sebegitu rupa sehingga tampak bagai kebenaran"

Jika begini, Ya Tuhan makbulkan doa kami. Amin.

- Posted from my iPad


Tuesday, June 14, 2011

TIDAK SAMA

Tiadalah persamaan antara layanan MANUSIA dengan layanan TUHAN. Kerana mulia atau hina seseorang pada Manusia tidak sama dengan mulia atau hinanya seseorang pada Tuhan.

Layanan baik seseorang boleh saja kerana baginya orang lain itu punya kedudukan terhormat. Sedemikian layanan buruk diberi kerana baginya orang lain dalam kehinaan.

Namun tidak sedemikian lakunya kepada Tuhan. Mulia atau hina seseorang itu pada Tuhan, samasekali tidak terpengaruh oleh layanan manusia kepadanya. Kenanglah jahatnya layanan kaum Qurais Jahiliah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, tetapi baginda adalah KEKASIH ALLAH.

Maka berpadalah dalam melayan manusia. Jangan sampai layanan itu akan menurunkan murka Tuhan. Wallahualam......

- Posted from my iPad

Sunday, June 12, 2011

BERURUSAN

Setiap hari kita melihat manusia. Jika ada keperluan maka kita akan berurusan dengan mereka. Namun kita bukan asing dengan mereka, kerana kita juga adalah manusia. Cuma apakah berurusan dengan manusia atau diri kita sebagai manusia itu mudah? Jika kita mengambil prinsip bahawa manusia itu sebaik-baik kejadian, maka tentulah urusan itu akan terikat kepada tanggungjawab MEMULIAKAN manusia atau kemanusiaan diri kita...

Maka ingin dikongsikan antara saripati pesanan Baginda Rasullallah SAW tentang adab berurusan dengan manusia yang dipetik dari buku Teori Kaunseling Al-Ghazali .

Pertama harus dijaga akan Maruah
Kedua lihat akan tahap fikiran dan perasaan
Ketiga pertimbangkan soal keperluan dan ikut keutamaan
Keempat bersopan santunlah
Kelima jangan memaksa
Dan paling utama;
Ikhlas Kerana Allah Semata




- Posted from my iPad