Wednesday, April 29, 2009

HAYAT

‘Selagi HAYAT Di Kandung Badan’.  Biasakah mendengar ungkapan ini ? Agaknya begitu. Ungkapan ini sering berganding dengan kata ikrar dan janji. Ada yang berbunyi ‘Selagi HAYAT di kandung badan akan ku serah jiwa dan raga’. Menyelami  konsep yang tersirat di sebalik kata itu…..,  Rupanya penyerahan jiwa dan raga bukan  untuk selamanya.  HAYAT membataskan.

Batas HAYAT!  Apakah HAYAT itu bermakna usia atau umur? Jika benar, ertinya   HAYAT adalah jadual tentang tempoh hidup. Perihal tempoh yang relatifnya  panjang atau pendek.  Bergantunglah,  selama mana nyawa tidak meninggalkan  jasad.

Jika berpeluang menentukan HAYAT. Berapa lama yang kita mahukan? Untuk  seseorang yang punya insan dicintai,  tentunya dia mendoakan agar HAYAT insan tercinta itu panjang. Dapatlah kasih sayang darinya terus mengalir menghidupkan cintanya. HAYAT yang panjang untuk pemimpin yang adil, menjadi harapan para rakyat jelata. Adilnya dia didambakan untuk  terus mendamai sengketa, membela yang tertindas, merapatkan jurang di antara papa dan kaya. Saat HAYAT berakhir,  kedengaran tangisan meratapi. Sebesar manapun ratapan, tidak tertahan HAYAT yang pergi.  Tiada  yang boleh   menentukan panjang atau pendeknya HAYAT sesiapapun,  hatta  HAYAT diri sendiri melainkan kuasa Illahi.

Maka jika tidak punya kuasa menghadkan waktu HAYAT.  Apa yang bisa kita tentukan dalam HAYAT ini?  Merungkai persoalan ini,   dialihkan sedikit erti HAYAT dari tafsiran usia atau umur.  Sekadar memetik kesah,

Ini kesah hayat seorang jejaka,  memperisterikan si dara jelita pujaannya. Kini dia adalah suami. Jejaka itu punya satu lagi tanggung jawab, itulah isterinya.

Ini kesah hayat seorang dara jelita, setelah pernikahannya kini dia adalah Isteri.  Sedemikian  dia sebagai isteri, mendapat tanggungjawab baru menyerikan hidup sang suami.  

Kesah hayat mereka dikhabarkan  dengan berita gembira. Suami Isteri itu bakal menimang cahaya mata. Kini  mereka bergelar ibu dan ayah. Berkembang lagi tanggungjawab mereka pada  bayi comel yang dinanti-nanti.

Anak kecil itu semakin besar dan dewasa. Sangat cerdik aqalnya,  sangat baik pekertinya. Di zaman pengajiannya, di bangku sekolah mahupun di menara gading dia bergelar ketua dan pemimpin.  Sekarang dia telah bertugas bersama  para pentadbir negara. Kerana ketokohan dan dirinya yang berjiwa rakyat. Nah! sekarang jawatannya bukan kecil tapi sudah taraf menteri……,

Dari pengkesahan ini, tentu ada makna lain bagi  HAYAT, tanpa menafikan tentu  ada perspektif  yang lebih tepat.  Namun memadailah untuk menyakini, walau tiada kuasa menentukan HAYAT tapi mengatur dan mengurus HAYAT adalah kewajiban.

Dalam penafsiran ini, diertikan bahawa  HAYAT  itu adalah urutan titik transformasi diri. Tranformasi diri yang beramanah pada pertangungjawaban. 

Perjalanan HAYAT sememangnya tidak simetri di antara sesiapa pun. Tapi perlukah ada irihati pada mereka yang berHAYAT lama. Bukankah telah dikhabar tentang kejadian manusia yang bukan sia-sia. Janganlah menghitung-hitung lamanya usia kerana jika direnung  HAYAT ini cuma antara dua tangisan. Tangisan pertama ketika lahir ke dunia ini dan tangisan ke dua ketika meninggalkan dunia ini. 

Sunday, April 26, 2009

YANG ADA DAN YANG TIADA

Yang Ada Di Hadapan Dan Tak Akan Pernah Ada Di Belakang Adalah;

Masa Depan,  Impian, Harapan

&

IKHTIAR

Yang Ada Di Belakang Dan Tak Akan Pernah Ada Di Hadapan Adalah

Masa Silam, Kenangan, Pengalaman

 &

NASIB

 

Jika Berkata Tentang Di hadapan Dan Di belakang. Berkatalah Antaranya;

Pertama; Di belakang memang itu NASIB saya, tapi di hadapan itu bukan  NASIB saya.

Kedua; Di belakang memang itu bukan IKHTIAR saya, tapi di hadapan tentu itu   IKHTIAR saya.

*****************************

Berkatalah apapun,  tentang Yang Ada &  Yang Tiada Di Hadapan atau Yang Ada & Yang Tiada Di Belakang. Sebenarnya itu membicarakan soal Laluan Kehidupan. Jika terhalang laluan ini, ia  bukan kerana duri sembilu atau jurang nan dalam. Lantas jika menjejaki laluan ini pandanglah dengan mata hati, bukan kerana mata kasar  tidak mampu melihat. Kerana mata hati itu adalah penglihatan dalaman. Walau   dirasa duri sembilu itu tajam, tak akan terlawan tajamnya mata hati. Itulah Yang Ada pada mata hati dan Yang Tiada pada mata kasar.

 

Saturday, April 18, 2009

BARIS

Sedang BARIS menunggu giliran. Bosannya, angka di tangan nombor  ‘30’ di paparan  nombor ‘10’. Maknanya  kena tunggu 20 orang lagi. Mujur ada kerusi,  tak perlu berdiri menunggu. Tapi duduk pun tetap BARIS juga namanya.

Kelmarin menghadiri program Diskusi. Ramai yang memenuhi undangan.   Jamuan buffey style, untuk makan kena BARIS juga walau selapar mana sekalipun.  Masuk wash room  BARIS lagi.

Hari ini ada perhimpunan. Di bawah sinar mentari pagi semua berdiri tegak penuh semangat. Mata merenung seolah tak berkelip memandang  kibaran Jalur Gemilang.  Seluruh alam bagai tertawan oleh lagu Negara Ku. Yang ini lagilah kena BARIS.

Esok, berfikir naik apa, kereta masuk workshop. Tumpang kawan tak dapat. Gayanya naik bas lah ke pejabat. Tunggu bas, tetap BARIS lagi nampaknya. Jalanraya sesak. Lampu merah sana sini. Begitulah, dalam kereta pun BARIS.

Rupanya  hidup ini sepanjang masa BARIS.  Tidak kelmarin, hari ini.  Tidak hari ini, esok. Alangkah beruntungnya bagi  yang  punya pangkat dan kedudukan lagi ternama. Walau lewat akan didulukan. Begitukah namanya keberuntungan?  Sebaiknya, BARIS lah penuh adab. Jangan ambil tempat orang.  Jangan potong jalan orang.

Menjimatkan masa BARIS, buatlah temujanji. Namun bukan semua urusan menyediakan temujanji. Apapun, itulah BARIS kerana Urusan. Sesiapapun akan mengalami semuanya kerana urusan.  

Mudahkah BARIS ? Belum tentu ! BARIS itu menyusuri onak dan duri. Mungkin juga berulit getir. Jika mahu menduduki tempat dalam BARIS itu, tiada pilihan melainkan dari jerit perih penuh pengorbanan dan kesabaran. Itulah BARIS sebagai Ilmuan, Karyawan, Dermawan, Budiman,  Seniman. Juga seangkatan dengannya tanpa  disenaraikan.

BARIS sebagai golongan terpilih. Memikul amanah memartabatkan Agama, bangsa dan negara.  BARIS lah penuh keinsafan di sini,  kerana BARIS ini adalah nyawa kehidupan bermaruah. Jagalah BARIS ini, jangan dicemar dek meminta-minta balasan, dek mengejar ganjaran. 

Orang itu tak terkira hartanya, tapi matanya tidak pernah memandang pada si miskin.  Sesekali memandang juga hanya kerana disiar. Begitulah  dia,  BARIS sebagai orang  kaya raya. Tapi dia tidak BARIS dalam BARIS Dermawan. Ternyata bukan semua BARIS  itu mudah.

BARIS jangan pada mata kasar sahaja. Kelak tak menemui BARIS yang tersirat. Bukalah mata pada sekeliling.  Di sini terlihat si muda rupawan  bersama si muda tampan. Samar di sana  terlihat  si tua, lemah qudratnya membuat kerja. Lihatlah lagi.  Itulah BARIS Usia.

BARIS itu punya sifat. Bertambah tak akan mengurang. Meningkat tak pernah menurun. Kerana BARIS nya untuk meluaskan lapangan. Sebagai ruang  merimbun ilmu,  menyuburkan amal dan merimpunkan bakti.  Jagalah BARIS ini, kerana keberuntungan BARIS itu sebenarnya di sini.

Keberuntungan tanpa menurut si tua atau  si muda. Juga tanpa  berpihak kepada yang  baru atau lama. BARIS itu nanti di bawa mengadap Pencipta. Panjang atau pendeknya BARIS itu, bukan menjadi jarak dengan Pencipta. Yang terkandung dalam BARIS itulah  menentukan jarak.  Jarak yang tanpa sempadan InsyaAllah Syurgalah kedudukannya. Maka marilah kita mengatur BARIS ini sebaiknya………

Friday, April 17, 2009

RENUNGAN JUMAAT 17 APRIL

 SEMULIA-MULIA MANUSIA IALAH

 MEREKA YANG 

Mempunyai Adab Merendah Diri Ketika Berkedudukan

Memaafkan Ketika Berdaya Membalas

&

 Bersikap Adil Ketika Kuat

Tuesday, April 14, 2009

KENAPA

KENAPA

Antara AKU  atau  KAU.   KAU adalah PILIHAN

Antara KAMI atau KAMU.  KAMU  adalah PILIHAN

Antara KITA atau MEREKA.  MEREKA  adalah PILIHAN

KENAPA Tidak Aku ?

KENAPA Tidak Kami ?

KENAPA Tidak Kita ?

KENAPA

Monday, April 13, 2009

JANGAN LUPA

  

Jika tidak mampu mengingat semua……,

Jangan Lupa, pada suami  dia adalah raja dihati

Jangan Lupa, pada  ISTERI  dia adalah ratu dihati

Jangan Lupa, pada cahaya mata mereka adalah tugu cinta

Jangan Lupa, pada ayah dan bonda mereka adalah tanda bermula

Jangan Lupa, pada sanak saudara mereka adalah rantaian rasa

Jangan Lupa, pada teman dan taulan mereka adalah kekuatan jiwa

 

Jika tidak mampu mengingat semua…..,

            Jangan Lupa, perjuangan bangsa

            Jangan Lupa, mendaulatkan Negara

            Jangan Lupa, pelihara Agama

 

Buatlah pesan pada semua…….,

            Jangan lupa, Nabi Junjungan

            Jangan lupa, Kitab  Al-Qur’an

            Jangan Lupa, ALLAH YANG ESA

 

Buatlah pesan sebagai wasiat……..,

Kalian yang mengasihi,  Mohon Jangan Lupa

Tatkala Izrail menjemput pergi, bisiklah KALIMAH syahdu di telinga

Tatkala tiada di dunia fana, titipkan  FATIHAH tanda ingatan.

Sekali lagi  MOHON JANGAN LUPA


Sunday, April 12, 2009

TAHU BERTANYA & MENCARI JAWABAN

Mana satukah madrasah terbaik di dunia ini mampu memberikan ilmu sehingga lahirnya seorang manusia muslih walau siapa pun asal mereka? Jawapan  terserah. Cuma….,

Sejenak mengajak berfikir tentang  Pokok Tanpa Buah

Soalan: Kenapa pokok tak berbuah? 

Jawapan: (a) Tanah tak subur (b) Benih pokok tak subur (c) Baja tak cukup   (d) Air tak cukup. Pilihlah, mungkin ada salah satu jawapan itu betul atau semuanya betul.  Tapi kalau semua jawaban itu tidak  betul? Usahalah sehingga mendapat jawaban yang betul……,

Soalan: Pokok pun tak kesah dia berbuah atau tidak, kenapa pula mahu bersusah payah memikirkannya ?

Jawaban: Habis, manusia kalau tak berfikir bagaimana  dapat menikmati lazatnya buah?

Soalan: Jadi kalau manusia mahu menikmati rasa buah kenalah berfikir, begitu?

Jawaban: Bukan itu saja, Manusia  kalau Tak Berfikir pun sama macam Pokok Tak Berbuah.

Soalan:   “ILMU TANPA AMAL umpama POKOK TANPA BUAH,  itukah maksudnya?

***********************************

Kenapa pokok tak berbuah? Secara saitifik permasalahan ini boleh diterangkan.  Tetapi perkaitan antara pokok tanpa buah dengan Ilmu tanpa amal, bukan penjelasan saintifik. Lagipun tidak semua perkara maujud mempunyai alasan saintifik.

Ini sindiran sinis. Tanpa dicemuh, dicaci atau dihina taraf manusia disamakan dengan pokok. Hanya kerana manusia punya Ilmu tapi tidak mengamalkannya.  Mujur bukan pokok yang mengumpama perkara ini,  tetapi manusia. Maknanya, manusia boleh lagi menyedari kekurangan sendiri. Kesedaran tentang mengapa mereka tidak mengamalkan Ilmu yang dimiliki?

Ilmu tanpa pilih kasih boleh dimiliki oleh sesiapa pun.  Tapi keadaan Ilmu itu duduk  dalam diri seseorang  bergantung kepada cara mendapatkannya. Jika Ilmu adalah hasil tawaran wang ringgit atau dari ciplak semata, tanyalah samakah nanti makna Ilmu yang tiba, dengan mereka yang amat bertekun dengan Ilmu.  Jika tidak, tidak mustahil  pengamalan  ilmu itu bukan senada semangatnya. Mempelajari llmu harus punya rasa tanggungjawab. Seperti menerima satu amanah yang perlu disampaikan kepada tujuannya. Kerana perjalanan  kearah tujuan itu adalah perjalanan ilmu mencapai amal.

Ilmu yang benar itu punya beberapa sifat. Bukankah Ilmu itu sifatnya menyelesaikan dan membaikkan. Bagaimana jika manusia sambil lewa sahaja dengan masalah  dan  ala kadar pula melakukan sesuatu perkara.  Dengan respon seminima itu, tentunya Ilmu menjadi longgar, kerana tidak perlu kepada hasil yang memuaskan.

Ilmu yang benar itu tinggi sifatnya. Seperti juga manusia, kedudukan mereka tinggi dengan maruah yang terjaga. Namun jika manusia sering menjatuhkan dirinya, bagaimana Ilmu berkembang mekar.  Kerana menjatuhkan diri adalah melawan dan musuh kepada makna Ilmu yang sedang terbina. Pasti tiada amal jika Ilmu mengalami kehancuran dalam diri.

Carilah garisan yang mengenalkan sempadan antara dua pertentangan. Garisan itu tentulah Ilmu. Kerana dalam Ilmu ada nilai. Nilai yang memisahkan antara baik dan buruk. Antara manfaat dan mudharat. Tapi jika diri menjadi seperti lembu dicucuk hidung hanya menurut telunjuk  malah menyanjung tanpa batas,  Ilmu akan lenyap nilainya di dalam diri. Tiada keberaniaan adalah proses pelunturan makna Ilmu yang berada dalam diri.  Ilmu yang luntur , amal tentunya pudar.

Dalam satu peristiwa, seorang Santis  mengesyorkan kaedah terbaru supaya betik yang telah ditanam oleh seorang pekebun berbuah.  Berubah air muka Saintis, bila penanam betik berkata; betik jantan tuan, buat apapun tak jadi. Inilah namanya pengalaman. Masalahnya ada ketika dengan teori kita rasa jadi serba boleh.  Katak di bawah tempurung hanya mengenal realiti tempurung. Realiti serba selesa dan tak  perlu lagi berbuat apa-apa. Hidup jika tiada pengalaman baru hanya mengulang-ngulang  perkara yang lama dan sama.  Ilmu tanpa pengalaman baru dan tanpa cabaran tentulah terencat mendewasakan amal.

Demikianlah beberapa jawaban……

Rupanya  alam dan kehidupan ini adalah madrasah terbaik, juga bagai taman yang semerbak harum dengan wangian  Ilmu.  Di  sini siapa pun layak  beroleh  Ilmu.  Hanya dengan prasyarat  minima ‘tahu bertanya’ dan ‘mencari jawaban’.

 

Friday, April 10, 2009

SANGKA

Awan berarak lesu, tapi langit tidak berwajah suram. Tentu cuaca baik hari ini.  Ribut pun tidak menendang telinga, tiada juga petir memanah mata. Tak  SANGKA Hujan Di Tengahari.

Demikian ceritanya. Sesuatu yang tak disangka berlaku. Siapapun tak  menyangka begitu kesudahannya. Maka emosi berubah rentak dan rasa mula berantakkan. Meletus kemarahan, kadang terdengar ada berkata; Ku Harap Pagar, Pagar Makan Padi. Sangkaan jika seperti diharapkan, tentu tiada keraguan dan kebimbangan. Semua akan mengikut rencana. Tapi ingatlah, jika lidah bercabang tidak mustahil  ada  yang  menyimpang.  Tiada terhalang sangka yang bukan-bukan?

Sering terdengar mereka berkata ‘Saya SANGKA, rupa-rupanya…….’ Manusia memang  begitu.  SANGKAnya berjenis rupa selagi mata melihat dan telinganya mendengar. Tapi perlu sedar dan waspada pada sempadan SANGKA. Sangka kepada manusia andai tersilap boleh menyusun jari  sepuluh tapi terlanjur buruk padanya.  Namun Sangka kepada Tuhan jika tersasar, walau seluruh jasad bukan perundingan.

‘Ku sangka panas  hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Hujan berhenti hanya Tuhan menentukan. Jika panas tak sampai ke petang pun, bukan bermakna Tuhan silap. Malangnya, ungkapan ini sering dikiaskan  manusia bila harapan tersasar. Adakah ini sesuai? Sedangkan andai janji tak tertunai, hajat tak tercapai dan harapan tak kesampaian, itu silap Manusia dan bukan silap Tuhan. Tuhan tak pernah silap kepada Manusia,  tapi Manusia  silap walau kepada diri sendiri.

Maka renunglah  sejenak, sesal dan duka Manusia jangan sampai menjadikan rencana Tuhan sebagai kiasan. Kerana urusan Tuhan tidak seperti urusan Manusia. Sangkalah apa pun kepada urusan Manusia. Tapi urusan Tuhan hanya ada satu Sangka; Sangka Baik.  

Beringatlah, Janganlah Bersangka Kepada Allah seperti Kita  Bersangka Kepada Manusia.

Wallahualam…..,

Tuesday, April 7, 2009

BERAT SAMA DIPIKUL

Tentunya semangat yang terkandung dalam ungkapan yang kita telah sepakati ini, bererti tolong menolong, muafakat atau kerjasama. Cuma yang mahu dipersoalkan ialah, dalam dunia realiti BERAT itu bermaksud apa atau bagaimana? Apakah  BERAT yang dimaksudkan  itu boleh ditimbang untuk mendapatkan ukurannya?  Lalu kita kata gram, paun, kati atau sebagainya.

Seguni beras mungkin boleh dibeli dengan seratus ringgit. Kerana beras punya nilai kuantitatif.  Tapi jika begitu maksudnya BERAT tidak semua harus dipikul bersama. Maka tentu ada makna lain yang dimaksudkan dengan BERAT dalam ungkapan ini. Yang bukan Kuantitatif sifatnya tapi Kualitatif. Umpamanya, apakah ukuran untuk kita menimbang beratnya sesuatu pekerjaan? Mungkin bolehlah kita gariskan berat itu pada timbangan kemaslahatan bersama. Dan…….

Sebagai Renungan

Beratnya Kemerdekaan Tidak Terpikul, Jika Tidak Bersama Menjulang Daulat.

Beratnya Keamanan Tidak Terpikul Jika Tidak Bersama Menjauh Sengketa.

Beratnya Visi Tidak Terpikul Jika Tidak Bersama Menjaga Muafakat.

*******************

Tapi bagaimana dengan Beratnya rindu Laila kepada Majnun,

Berat rindu Isteri kepada Suami

Hanya Cinta  Sahaja Jadi Penimbangnya.

********************

Sebenarnya bukanlah maksud hati untuk menemukan dengan  tepat makna BERAT.  Tapi kerana maksud yang tersirat,  Untuk mengenal sahabat dan teman  yang boleh saya katakan padanya ‘Ini Milik Saya, Milik Anda Juga, Kerana Ia Milik Kita’.

Monday, April 6, 2009

TENTANG DUA PERKARA

Buat Renungan Tatkala Hati Terluka……,

 

INGATLAH DUA PERKARA

‘Baiknya Orang Kepada Kita Dan Jahatnya Kita Kepada Orang’

 

JANGAN INGAT DUA PERKARA

‘Baiknya Kita Kepada Orang Dan Jahatnya Orang Kepada Kita’

 

PENGARUH YANG BERPENGARUH

Detik awal menjadi warga mukabumi ini siapakah yang kenal diri kita? Tiada melainkan Ibu, walaupun bukan dia yang pertama menatap wajah kita. Dan Ayah barangkali, jika menemankan ibu di saat melahirkan, tetapi bidan sudah tentu.  Maka episod meniti jambatan kehidupan pun bermula dan untuk satu tempoh kehidupan kita tidak berupaya berbuat apa, walaupun untuk diri sendiri.  Semuanya dipinta dan diluah dengan tangisan.  

Tapi kini kalangan kita ada yang muncul sehingga hampir seluruh mata memandang tatkala melintas, hampir seluruh telinga mendengar tatkala berkata. Terkenal ! Dipuji, dikagumi, dihormati.  Merata, nama jadi sebutan. Seumpama ada satu megnet dalam diri yang punya kuasa tarikan. Waspadalah dengan kuasa diri jangan sampai yang lain tunduk meminta-minta. Sedih jika begini ! Kelak diri biarlah menjadi teladan sepanjang zaman, menjadi ikutan setiap insan.

Dalam hidup kita punya kawan tapi kita juga akan punya lawan. Kenapa? Itulah PENGARUH.Memiliki PENGARUH hak semua. Siapa pun asalnya kita, anak si miskin atau si buta tetap punya PENGARUH. Bezanya bagaimana PENGARUH  terbina dan BERPENGARUHkah PENGARUH itu.

Diri manusia secara semulajadi punya PENGARUH yang terbit dari pancaran jiwa dan minda. Yang zahir dalam bentuk ilmu dan adab. Kualiti zahir diri seperti kesenangan hidup yang diusahakan kerana qudrat dan iradat diri merupakan satu lagi PENGARUH.  Mata kasar menggunakan PENGARUH ini sebagai pengkelasan sosial.  Penghargaan pada diri memberikan satu lagi PENGARUH anugerah. Ia menjadi balasan kepada karya diri yang telah menyempurnakan  tugas dan peranan.  Tapi…….

PENGARUH bukan semua bernilai sama. Diri akan tegar dengan kekuatan ilmu dan adab. Dengan anugerah, kadang menjadi khilaf. Sepertinya manusia ada kelas-kelas tersendiri. Tawar menawar menjadi  lumrah.  Oleh itu janganlah rasa terhina jika hanya punya ilmu dan adab, jika punya qudrat dan iradat tapi tidak punya gelaran  terhormat.

PENGARUH yang BERPENGARUH, apakah maksudnya? Bagaimanakah kaum Hawa mendapat kemuliaan di mata kaum lelaki Jahiliah. Setelah datangnya Utusan. Setelah berjayanya  perkhabaran dari langit menewaskan tuhan berhala maka anak perempuan yang lahir tidak lagi ditanam hidup-hidup. Itulah mungkin ertinya BERPENGARUH. Lalu Utusan itu menjadi teladan walau manusia berganti zaman.  Patah tumbuh, hilang berganti. Persoalannya manusia seperi Firaun perlukah  ada pengganti.

BERPENGARUH bukan sekadar berpengikut. Tapi menawarkan Kemanfaatan hidup kepada seluruh isi alam. Jika digelar Bapa Pembangunan sedang pasak bumi runtuh, kehijauan bertukar gersang tidakkah itu merosakkan. Lalu bagaimana alam ini memberi manfaat.  Maka bicarakanlah PENGARUH yang baik agar tidak jatuh kejurang kehancuran.

BERPENGARUH dengan baik itu bilamana  PENGARUH itu membina  sempadan  kualiti. Menyaring dan memisahkan;  antara kebenaran dan kebatilan, antara kerohanian dan kebendaan,  dan antara pahala dan dosa. Dan bilamana PENGARUH itu menyuburkan kebenaran merencatkan kebatilan, mengagungkan kerohanian menghambakan kebendaan, dan mendekatkan pahala dan menjauhkan dosa.

Berharta tiada maknanya jika pada si ‘bakhil’. Berkuasa tiada hebatnya jika pada si ‘zalim’. Berilmu tidak nilainya jika pada si ‘pendusta’. Pangkat tiada kedudukannya jika pada si ‘pemeras’.  Justeru jika menjadi manusia BERPENGARUH harus dulu mengenal kualiti.

PENGARUH bagai  empayar. Dan kita perlu empayar itu,  kerana kita manuasia punya tanggungjawab. Terserah kepada diri untuk membina samada empayar ilmu, adab, harta, kedudukan atau pun pangkat. Yang pasti tanggungjawab akan menjadi kaku; jika Seperti Melukut Di tepi Gantang, Hadir Tak Menambah, Pergi Tak Mengurang.  Ada PENGARUH tapi tidak BERPENGARUH.

Saturday, April 4, 2009

MENCARI SEBAB

Tak pasal-pasal mencari SEBAB. Apa tidak ada kerja lainkah?  Sehingga SEBAB pun mahu dicari. Sekiranya telah mengetahui  SEBAB untuk apa?

Anda bertemu seorang pengemis di jalanan, lalu seseorang menceritakan kemiskinan dan kemelaratan hidupnya kepada anda, apakah anda akan terus menghinanya?  Anda bertemu pula dengan sorang lelaki kaya raya, lalu sesorang menceritakan bagaimana kekayaan itu dimiliki, apakah anda akan terus menghormatinya. Anda bertemu lagi dengan seorang anak kecil bercucuran air mata  di sebuah rumah anak yatim, lalu mata anda sendiri melihat kesempitan hidup ibunya, apakah anda akan terus mempersoal tindakan ibu anak itu?

Demikianlah, peristiwa demi peristiwa berlaku bersilih ganti, tahukah kita SEBABnya?  Apakah yang terhijab di sebalik SEBAB dan tersingkapkah hakikat sesuatu kejadian jika kita mengetahui  SEBABnya.  Andai  SEBAB bukan rahsiah lagi,  bagai  diankah SEBAB,  sifatnya dapat  menerangkan. Atau  umpama  bara kah SEBAB, memberi akibat jika tersentuh. Lalu benarkah jika berkata menemui makna di sebalik SEBAB adalah keberuntungan? Bersama merenung  ke dalam diri, pasti ada ketika SEBAB menjadikan perasaan kita turut terheret untuk bersimpati, bersedih, bergembira, marah hatta mahu bergadai nyawa sekalipun. Begitu mungkin maksud keberuntungan itu.

Bersedihkah anda melihat wajah si kecil yang tidak berdosa dan belum kenal erti hidup perginya di muncung senjata.  Marahkah anda jika maruah anda dicalar, kehidupan peribadi anda dicerobohi.  Kasihankah anda pada mereka membanting tulang, hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bencikah anda dengan mereka yang merampas segalanya dari anda. Kesedihan, kemarahan, simpati dan kebencian tentu ada SEBABnya. Jika SEBAB telah tersuluh, berkilaukah akal yang pudar terangkah yang jiwa yang malap, bangunkan hati yang mati.

Tentu ada tujuan ‘Mencari SEBAB’. Barangkali alasan pertama kerana, SEBAB menjadi hukum satu-satu fenomena.  SEBAB akan menjelaskan kenapa suatu fenomena berlaku. “Lapar lagi? Tidak, sudah kenyang, tadi kawan belanja makan”. Ini antara dialog contoh. Tetapi  SEBAB sebegini ini punya batas dan sempadan.  Seakan kita bebas memilih SEBAB, namun akibat bukan ketentuan sendiri. Merompak, membunuhlah menurut kemahuan, tapi lepas dari kesalahan jenayah bukan mengikut suka.

Alasan kedua barangkali SEBAB merupakan dasar kepada arah tujuan. Bukanlah sesuka hati mahu berhutang jutaan ringgit melainkan ada urusan besar mahu dikerjakan.  Bukanlah sesuka hati bersuara lantang melainkan pemerintah menyimpang arah. Bukanlah sesuka hati mendaki cita melainkan ada kehidupan mahu dibina.   Melainkan itulah yang menjadi SEBAB. Semuanya direncanakan, diorientasikan agar masa depan  menjanjikan martabat, agar masa depan menjanjikan bahagia…………………,

SEBAB seperti arca diri, tidak  sempurna tapi mengenalkan siapa diri. Tiga orang tukang ini semuanya mempunyai SEBAB. Soalan diajukan. Kenapa di sini ? Menjawab Tukang 1, katanya mau  menyusun bata. Menjawab Tukang 2, sahutnya  mahu mencari duit. Berkata pula Tukang 3, sambil menghela nafas, mahu membina masjid jawabnya.

Ternyata jawaban tentang SEBAB mereka berada di situ  tidak sama.  Kepada sesiapa pun, bukan kepada tukang bertiga sahaja, SEBAB boleh menentukan kenapa nilai, semangat,  prestasi atau kualiti kerja kita berbeza. Jika di tangan seseorang ada seribu ringgit bagaimana pula di tangan orang lain ada sejuta ringgit. Nah.., bukankah SEBAB sedikit atau banyak wang itu bukan puncanya dari SEBAB yang  sama.  Sedemikianlah tukaran kepada wang itu nanti. Tentu lain tukaran lain SEBABnya. Itulah sebab;  SEBAB adalah wajah kita, cermin kita malah  indikator diri kita.

Cuma SEBAB bukan alasan segalanya. Peperangan tidak pernah menghalalkan nyawa wanita dan anak kecil. Harta bertimbun bukan alasan menghina si miskin, pangkat bukan alasan meminta hormat. Kuasa melangit  bukan alasan menentu hukum, sasa dan rupawan  bukan alasan memperagakan diri.

Jika SEBAB munasabah kenapa tidak semua SEBAB diterima. Sedarkah kita, bukan semua SEBAB kita punca dan penentunya. Kenapa cakerawala bergerak mengikut orbitnya, adakah kerana kita, tiada keajaiban  kita adalah SEBABnya. Kita tidak punya mukjizat menjadi SEBAB walau sehebatmana.  SEBAB itu adalah milik Yang Maha Kuasa. SEBAB yang menjadi PERINTAH, tiada keengkaran padanya melainkan taqwa. SEBAB itulah yang mentadbir SEBAB-SEBAB lain, kerana SEBAB  itu sangat sempurna pada tujuan dan hukumnya. SEBAB ini hanya meninggikan darjat manusia dan tidak pernah khilaf menurut kacamata manusia.

Maka bertanyalah kita; Bagaimana SEBAB menjadi lurus, sedangkan yang melihat mata manusia. Bukankah garisan Yang Esa itu terang dan nyata…..