Saturday, April 4, 2009

MENCARI SEBAB

Tak pasal-pasal mencari SEBAB. Apa tidak ada kerja lainkah?  Sehingga SEBAB pun mahu dicari. Sekiranya telah mengetahui  SEBAB untuk apa?

Anda bertemu seorang pengemis di jalanan, lalu seseorang menceritakan kemiskinan dan kemelaratan hidupnya kepada anda, apakah anda akan terus menghinanya?  Anda bertemu pula dengan sorang lelaki kaya raya, lalu sesorang menceritakan bagaimana kekayaan itu dimiliki, apakah anda akan terus menghormatinya. Anda bertemu lagi dengan seorang anak kecil bercucuran air mata  di sebuah rumah anak yatim, lalu mata anda sendiri melihat kesempitan hidup ibunya, apakah anda akan terus mempersoal tindakan ibu anak itu?

Demikianlah, peristiwa demi peristiwa berlaku bersilih ganti, tahukah kita SEBABnya?  Apakah yang terhijab di sebalik SEBAB dan tersingkapkah hakikat sesuatu kejadian jika kita mengetahui  SEBABnya.  Andai  SEBAB bukan rahsiah lagi,  bagai  diankah SEBAB,  sifatnya dapat  menerangkan. Atau  umpama  bara kah SEBAB, memberi akibat jika tersentuh. Lalu benarkah jika berkata menemui makna di sebalik SEBAB adalah keberuntungan? Bersama merenung  ke dalam diri, pasti ada ketika SEBAB menjadikan perasaan kita turut terheret untuk bersimpati, bersedih, bergembira, marah hatta mahu bergadai nyawa sekalipun. Begitu mungkin maksud keberuntungan itu.

Bersedihkah anda melihat wajah si kecil yang tidak berdosa dan belum kenal erti hidup perginya di muncung senjata.  Marahkah anda jika maruah anda dicalar, kehidupan peribadi anda dicerobohi.  Kasihankah anda pada mereka membanting tulang, hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bencikah anda dengan mereka yang merampas segalanya dari anda. Kesedihan, kemarahan, simpati dan kebencian tentu ada SEBABnya. Jika SEBAB telah tersuluh, berkilaukah akal yang pudar terangkah yang jiwa yang malap, bangunkan hati yang mati.

Tentu ada tujuan ‘Mencari SEBAB’. Barangkali alasan pertama kerana, SEBAB menjadi hukum satu-satu fenomena.  SEBAB akan menjelaskan kenapa suatu fenomena berlaku. “Lapar lagi? Tidak, sudah kenyang, tadi kawan belanja makan”. Ini antara dialog contoh. Tetapi  SEBAB sebegini ini punya batas dan sempadan.  Seakan kita bebas memilih SEBAB, namun akibat bukan ketentuan sendiri. Merompak, membunuhlah menurut kemahuan, tapi lepas dari kesalahan jenayah bukan mengikut suka.

Alasan kedua barangkali SEBAB merupakan dasar kepada arah tujuan. Bukanlah sesuka hati mahu berhutang jutaan ringgit melainkan ada urusan besar mahu dikerjakan.  Bukanlah sesuka hati bersuara lantang melainkan pemerintah menyimpang arah. Bukanlah sesuka hati mendaki cita melainkan ada kehidupan mahu dibina.   Melainkan itulah yang menjadi SEBAB. Semuanya direncanakan, diorientasikan agar masa depan  menjanjikan martabat, agar masa depan menjanjikan bahagia…………………,

SEBAB seperti arca diri, tidak  sempurna tapi mengenalkan siapa diri. Tiga orang tukang ini semuanya mempunyai SEBAB. Soalan diajukan. Kenapa di sini ? Menjawab Tukang 1, katanya mau  menyusun bata. Menjawab Tukang 2, sahutnya  mahu mencari duit. Berkata pula Tukang 3, sambil menghela nafas, mahu membina masjid jawabnya.

Ternyata jawaban tentang SEBAB mereka berada di situ  tidak sama.  Kepada sesiapa pun, bukan kepada tukang bertiga sahaja, SEBAB boleh menentukan kenapa nilai, semangat,  prestasi atau kualiti kerja kita berbeza. Jika di tangan seseorang ada seribu ringgit bagaimana pula di tangan orang lain ada sejuta ringgit. Nah.., bukankah SEBAB sedikit atau banyak wang itu bukan puncanya dari SEBAB yang  sama.  Sedemikianlah tukaran kepada wang itu nanti. Tentu lain tukaran lain SEBABnya. Itulah sebab;  SEBAB adalah wajah kita, cermin kita malah  indikator diri kita.

Cuma SEBAB bukan alasan segalanya. Peperangan tidak pernah menghalalkan nyawa wanita dan anak kecil. Harta bertimbun bukan alasan menghina si miskin, pangkat bukan alasan meminta hormat. Kuasa melangit  bukan alasan menentu hukum, sasa dan rupawan  bukan alasan memperagakan diri.

Jika SEBAB munasabah kenapa tidak semua SEBAB diterima. Sedarkah kita, bukan semua SEBAB kita punca dan penentunya. Kenapa cakerawala bergerak mengikut orbitnya, adakah kerana kita, tiada keajaiban  kita adalah SEBABnya. Kita tidak punya mukjizat menjadi SEBAB walau sehebatmana.  SEBAB itu adalah milik Yang Maha Kuasa. SEBAB yang menjadi PERINTAH, tiada keengkaran padanya melainkan taqwa. SEBAB itulah yang mentadbir SEBAB-SEBAB lain, kerana SEBAB  itu sangat sempurna pada tujuan dan hukumnya. SEBAB ini hanya meninggikan darjat manusia dan tidak pernah khilaf menurut kacamata manusia.

Maka bertanyalah kita; Bagaimana SEBAB menjadi lurus, sedangkan yang melihat mata manusia. Bukankah garisan Yang Esa itu terang dan nyata…..

No comments:

Post a Comment