Tuesday, March 31, 2009

ANTARA TERIMA KASIH DAN UPAH

Font size

Masih terngiang-ngiang ungkapan Terima Kasih yang tak henti-henti diucapkan petang tadi.  Amat tersentuh hati, menerima pelukan erat mereka kerana melahirkan  rasa Terima Kasih.  Hati menjadi  sayu melihat linangan airmata, ketika tangan menghulur  salam, bibir berkata Terima Kasih. Kata mereka lagi;  Terima Kasih kerana layanan dan perhatian, Terima Kasih kerana Ilmu, Terima Kasih kerana Pengalaman, Terima Kasih kerana Semangat.

Perlukah berterima kasih kepada saya? Kerja dan tugas saya bukan percuma. Khidmat saya berUPAHkan duit. Hujung bulan pasti dibayar GAJI. Maka harus bagaimana lagaknya saya dengan penghargaan Terima Kasih yang diberikan. Jika mungkin beban kerja saya tidak berbaloi dengan Upah diberi, tentulah penghargaan itu begitu bermakna. Namun  layakkah saya mengukur dan menilai lantas menyatakan  bahawa Upah diberi tidak setimpal.

………sekadar mengimbas lontaran persoalan petang tadi, tatkala merumuskan pengalaman 5 hari 4 malam bersama. Soal saya, apakah jawatan yang disandang, jika lebih tinggi dari orang lain akan lebih memuliakan? Berapa sangatlah upah seorang Pemandu, tapi jika dia terkorban untuk menyelamatkan Ketuanya. Terbayarkah jasanya atau lupakan saja soal bayaran, kerana mereka yang duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin lebih penting dari dia. Ucapkan saja takziah dan katakan Terima Kasih kepada keluarga pemandu itu kerana telah menyelamatkan.……

Dengan sekadar Terima Kasih dapatkah menghidupkan hati yang ikhlas membantu? Dengan sekadar Terima Kasih  dapatkah  merimbunkan  budi dan jasa? Bukankah sekarang segalanya perlu duit, bagaimana jika poket kosong.  Pengemis itu meminta-minta lantaran tidak punya duit apatah lagi untuk memberikan Upah. Lalu siapa yang  akan berkata Terima Kasih kepadanya?

Malangkah diri jika tidak dapat memberi Upah?  Bagaimana nanti tatkala raga bercerai jiwa menunggu masa menuju pusara. Jasad  terbiar kaku. Kerana  pusara tidak bergali,  jenazah tidak berusung.  Tiada Upah untuk semuanya. Terima Kasih bukan Upah, duit telah menjadi raja, melakukan ibadat pun tidak percuma.

Di persimpangan Antara Terima Kasih Dan Upah, renungkanlah maksud hadis ini.  Sesungguhnya orang yang dekat di sisi Allah adalah orang yang banyak manfaatnya kepada orang lain. 

No comments:

Post a Comment