Friday, March 27, 2009

KITA BERBEZA

Kadang-kadang saya menemui diri saya dalam diri kamu. Sebaliknya mungkin kamu juga akan menemui diri kamu dalam diri saya. Apakah kita sama? Jawabnya kalau kita sama sahaja, apa perlunya lagi kamu kepada saya. Mungkin kita tahu, yang terjadi di antara kita bukan tanpa disedari. Tiba ketika di antara kita ujud rasa suka, rindu, sayang malah mungkin cinta bagai Adam dan Hawa. Tidak terlepas juga, ada saatnya kita terperangkap dalam sekam kebencian, berdendam ke anak cucu, kemarahan membakar jiwa, menyumpah bagai nak gila. Itulah keunikan kita. Satu masa kita boleh bergelak ketawa bersama, satu masa kita langsung tidak boleh berpandang rupa. Hakikatnya memang KITA BERBEZA.

Sebenarnya, Siapa SAYA ? Siapa pula ANDA? Di mana sempadan kita?

Diri KITA adalah jelmaan Ilmu, Nilai dan Pengalaman KITA. Mungkin kerana Ilmu, Nilai dan Pengalaman kita, akhirnya kita jadi berbeza. Soalnya, serupakah kita jika Ilmu, Nilai dan Pengalaman kita sama. Dari satu sudut, Ilmu kita mungkin sama tapi Nilai dan Pengalaman kita berbeza. Boleh jadi Nilai kita sama tapi Pengalaman dan Ilmu kita tidak sepadan. Sebaliknya, jika Pengalaman kita sama belum tentu Ilmu dan Nilai kita seangkatan. Sejenak kita renungkan pepatah ini.

"Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing." "Bersatu kita teguh, Bercerai kita Roboh."

..........Siapa tidak mahu harta? Tapi nilai harta tidak sama antara kita. Siapa tidak mengejar masa? Tapi nilai masa tidak sama antara kita. Siapa tidak mahu memiliki sahabat? Tapi nilai persahabatan tidak sama antara kita. Siapa tidak mahu beroleh bahagia? Tapi nilai kebahagiaan tidak sama antara kita.

……….Peristiwa hidup kita mungkin sama, tapi apakah pengalaman kita akan sama. Apakah peristiwa itu pengalaman? Bertanyalah pada seseorang apa pengalamannya ketika lahir tentu dia tidak dapat menceritakannya. Bertanyalah pada sekujur tubuh yang kaku, tentu kematian itu tidak dapat diceritakannya. Pengalaman bukan sekadar peristiwa. Pengalaman sangat subjektif dan abstrak. Pengalaman adalah peristiwa dalaman diri kita.

.........Jika menuntut dengan guru yang sama, apakah kepahlawanan kita akan sama. Jika berguru dengan orang yang sama, apakah kecerdikan kita akan sama. Jika memiliki segulung ijazah yang sama, apakah kebijaksanaan kita akan sama. Jika kita membuka kitab yang sama, apakah fikiran kita sama. Jika seni karya kita sama, apakah posisi kita akan sama?

Hakikatnya memang KITA BERBEZA. Siapakah akan lebih untung dan siapakah akan lebih rugi dengan perbezaan ini. Yakinlah, selagi perbezaan ini tidak menemui titik pertemuan kedua-dua kita akan rugi.

Salju dari mana, boleh kita siramkan untuk memadamkan buih sengketa yang menggelegak? Upah sejumlah berapa boleh kita bayar untuk membina tembok persaudaraan yang runtuh? Tebusan apa menjadi ganjaran untuk mengembalikan seperjuangan yang belot melawan musuh? Jika tiada jawapan, bagaimana kita mahu meneruskan hidup bersama sedangkan segala segi kita berbeza.

Nelayan di laut, petani di sawah. Mana mungkin kita tahu derita nelayan jika suara ombak tiada pernah didengar. Mana mungkin kita tahu derita petani jika permatang pun kita tidak pernah jejaki. Derita mereka adalah PENGALAMAN mereka, bukan pengalaman kita. Juga mana mungkin merungkai kusutnya permusuhan jika tidak kembali kepada NILAI kasih sayang. Mana mungkin mereda perdebatan jika tidak kembali kepada prinsip ILMU.

Namun apakah semuanya kemungkinan belaka, hanya kerana memang KITA BERBEZA. Bukanlah retorik menjalin semangat dan bukanlah khayalan mempertemukan fikiran. Sebesar mana pun beban beza di antara kita tentu neraca pertemuan. Bagai dikata “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”. KITA BERBEZA. Dengan ILMU, NILAI dan PENGALAMAN jugalah kita menguruskan perbezaan ini. Ilmu, Nilai dan Pengalaman yang disepadukan mungkin memberi sinar harapan untuk kita hidup aman serta damai.

No comments:

Post a Comment