Saturday, June 27, 2009

RINDU

Saat ini,

Jika rindu pada kampung halaman. Pulanglah….,

Akan datang,

Entah, berapa lama dari sekarang? Kampung halaman itu mungkin tidak lagi berwajah serupa.

Saat itu,

Jika rindu pun hati sudah tidak  akan melihat kecantikan yang dulu.

Akan datang,

Mungkinkah  tiada lagi rindu pada kampung halaman.

Waktu itu,

Apalah nanti kesudahan pada Kampung Halaman?

Juga kesudahan  Rindu itu?


Friday, June 26, 2009

SATU PAKEJ


Senangkah Merendah Diri ?
Untuk pasti, satu persatu karektor orang diamati termasuk diri sendiri. 

Maka, dipandanglah pada Perhiasan Diri. Ternyata ada di kalangan yang sungguh sederhana. Walau hakikatnya, kemewahan boleh saja terpamer pada setiap inci jasadnya.

Dipandang pula pada Cara Berurusan. Nampaknya tiada kehendak pada layanan semulia para bangsawan sedangkan, bukan calang-calang pangkat dan kedudukan.

Hampir pasti, ini mungkin yang dikata Merendah Diri.

Namun menyelidiki karektor itu tidak berhenti di situ. Maka…,

Dipandang pula padaTutur Bicara. Nah ! sedikit tersentak. Kenapa?

Kerana tutur katanya mempertontonkan kemewahan yang tidak terlihat. Kerana tutur katanya mempertonton kemegahan yang tidak terzahir.

Hampir setiap perkataan membariskan susuk dirinya. Susuk diri tentang kehebatan yang tiada tertanding. Memperkata tentang ilmunya, memperkata tentang amal dan sumbangannya. Anak-anaknya juga meninggi pujian diberikan. Banyak lagi…..

Bermenung sendirian, rasanya andaian awal tadi bukanlah juga meleset. Lalu dengan fikiran sendiri menjawab….

Merendah Diri itu perlu SATU PAKEJ. Jika ada kekurangan, maka PAKEJ itu cuma tidak sempurna.

Namun, tetaplah waspada dengan PAKEJ yang tidak sempurna, Mungkin ia akan menjadi PAKEJ lain. PAKEJ yang namanya Sombong dan Angkuh. Atau PAKEJ yang namanya Riak dan Bongkak.

Thursday, June 25, 2009

TANDA TANYA

Mari kita bertanya. Andai kuasa asing berjaya menakluki kembali bumi bertuah ini. Berapa lamakah dapat kita tentang dan usir mereka.  Kerana jangan sama sekali mereka bermaharajarela lalu kita yang dikata derhaka.

Apakah selama 446 tahun, seperti lamanya kita ditawan setelah kejatuhan Melaka 1511.  Mungkin juga tempohnya kurang atau  tempohnya lebih dari itu? Semua ini masih tanda tanya….,  

Berapa pun angka yang diramal, realitinya  negara ini masih berdaulat. Maka marilah…..,

Kita peliharalah dan pertahankan bumi bertuah ini? Kecil atau besar peranan kita bukan ukuran. Kerana HATI yang tulus mempertahankan negara bukan letaknya pada kuasa dan pangkat.

Apakah yang dapat kita katakan pada dia. Siapa?

Dia yang gelojoh mengumpul kekayaan negara tapi dibibirnya tiada bicara,  melainkan bicara retorik. Berslogan dia, katanya “Jangan tanya apakah sumbangan Negara kepada kamu tapi tanyalah apakah sumbangan kamu kepada Negara”

Negara ini jika musuh yang datang kita boleh melawannya. Tapi jika kita yang menjadi musuh dapatkah kita melawan diri kita?

Wednesday, June 24, 2009

SEBENARNYA

Agak lama blog ini ditinggalkan.  Sebenarnya, kebelakangan ini sungguh banyak urusan memerlukan komitmen besar, sehingga mengendurkan  ketekunan menghalusi sesuatu persoalan.  Tulisan ini pun cuma sedikit sahaja….., 

Petang tadi 24 Jun 2009, saya mengajukan soalan. Apa maknanya kita MENGHORMATI orang ?

Soalan itu sengaja saya lontarkan agar berlegar dalam pemikiran para pendengar. Namun saya sertakan pandangan sendiri.

Jawab saya,

Menghormati Orang itu juga bermakna Menjaga Maruah Orang. Justeru yang namanya  Menghormati Orang itu tidak hanya terikat pada sisi pertemuan antara seseorang.

Sekadar ini dulu……,