Monday, February 15, 2010

Friday, February 12, 2010

TERIMA KASIH


Melafazkan TERIMA KASIH tidak mungkin boleh menggambarkan besarnya satu-satu pemberian. Kerana TERIMA KASIH semata tiadalah menzahirkan rupa pemberian yang diterima. Melainkan mengubah sedikit nada lafaznya atau menambah besar sifatnya. Seperti contoh begini mungkin;
Terima kasih banyak !
Terima kasih banyak-banyak !
Terima kasihlaaaa..
Ada pula berkata begini ; Terima kasih daun keladi kalau sudi beri lagi.
Terima kasih begini maknanya budi bahasa.


Apapun pada saya TERIMA KASIH itu balasan rasa. Sifatnya ada dihati….Dan saya mahu mengambil peluang hari ini untuk menyatakan rasa setinggi-tingi Terima Kasih saya kepada…,

Yang Berilmu dan sangat bertekun. Pengetahuan mereka sungguh luas dan amat mendalam. Mereka giat berkarya. Walau karya mereka mencecah nilai ratusan ringgit atau walau apapun niat disebalik karya itu, bukanlah itu jadi perkiraan. Kerana masih boleh bertanya “Kenapa bijaksana tidak ditimbang jika mahu memilih teman memberi pedoman?”

TERIMA KASIH BUAT PARA PENULIS.

Wednesday, February 10, 2010

BEGITUKAH ?

Dalam perjalanan menuju ke kereta saya melintasi dua orang lelaki, mereka cuma berkereta lama malah usang. Rupanya mereka berjualan hari itu. Berniaga ikut musim katakan, kebetulan musim durian, maka durianlah yang dijual.

Kaki saya terhenti dan mata saya terpaku melihat nasib menimpa....,

Beberapa orang petugas beruniform tanpa simpati memasukkan semua durian jualan mereka ke dalam karung lalu memunggahnya kedalam lori, Nampak seolah berkuasa sangat mereka. Setelah habis semua durian dipunggah, mereka pun beredar, tanpa sebarang isyarat malah bermuka bengis. Tinggallah si penjual duduk termenung…, lalu perlahan-lahan mereka melipat alas jualan yang tinggal kosong...

Saya memikirkan perasaan mereka. Mungkinkah mereka menangis dihati. Alangkah sedihnya jika jualan hari itu hasilnya untuk membeli ubat isteri yang sedang sakit, menyara anak yang masih ramai bersekolah, mengganti atap rumah yang bocor…..

Detik hati ;
BEGITUKAH HIDUP yang penuh peraturan…

Yang susah semakin susah. Jika mahu senang pun disusahkan.
Sebaliknya
Yang berkuasa semakin berkuasa. Mahu senang guna saja kuasa.

Friday, January 15, 2010

MENCIPTA KETAKUTAN

Pada keberanian itu lahir kejayaan, tapi pada ketakutan kegagalan tentu sukar dihalang. Oleh itu mari kita periksa diri kita masing-masing. Apakah kita seorang yang berani atau seorang yang takut.

Sebenarnya apa yang menjadikan kita takut? Takut bersuara, takut berkata benar, takut pada prinsip. Kadang berkawan dengan orang baik-baik pun kita takut juga.

Siapa sebenarnya yang menghakimi kita sehingga dibelengu rasa takut begini?
Orang atasan ditakuti orang bawahan
Orang kaya ditakuti orang miskin
Orang senang ditakuti orang susah
Orang berkuasa ditakuti orang biasa

Apakah rupanya dunia jika begini keadaan? Mungkinkah yang tidak bersalah dihukum tapi yang bersalah dibela. Atau semakin ramai orang TAKUT buka mulut. Atau berbagai kemungkinan lain lagi…

Jika memang Ketakutan sedang diciptakan SURUHLAH mereka (siapa) berhenti dari bersusah payah mengajak pada Kemenangan. Takut nanti bila gagal, yang diajak pula dipersalahkan. Semakin banyak lagilah jelmaan KETAKUTAN baru muncul…..

Thursday, January 14, 2010

JUJUR PADA....,

Sejauhmanakah kita berkata menggunakan maklumat yang masih asli jika maklumat yang kita terima bukan dari sumber yang pertama. Apatah lagi maklumat itu bersifat bebas, cenderung saja mengikut tafsiran individu yang memberi perspektif terhadap maklumat tersebut.

Pergerakan maklumat juga bukan seperti “Kompas Yang Mencari Arah Qiblat”. Ke manapun arah anak panah bergerak yang ditunjuk tetap juga arah Qiblat. Justeru tidak menghairankan jika satu maklumat boleh mencetus permusuhan kerana pertembungan semangat maklumat itu ekoran pentafsiran dua aliran yang bertelagah.

Kita juga mungkin menjadi antara tapak perjalanan maklumat dan maklumat yang melintas itu boleh jadi maklumat silam yang mahsyur sebagai sejarah. Sejarah yang amat berharga kerana Sejarah adalah takungan peristiwa dan maklumat yang menjadi rupa di masa silam. Maka….,

JUJURLAH PADA SEJARAH. Pegang kejujuran itu bila mempersembahkan sejarah. Jangan disembunyikan kebenarannya untuk kepentingan sendiri. Jangan pula dihidupkan dengan membataskan semangatnya sekitar kelompok sendiri.

Apakah niat memilih-milih sejarah secara angkuh untuk memperhebatkan satu-satu kelompok boleh melanjutkan usia sejarah atau menjadikan sejarah semakin tiris. Benarlah, tidak terjumpa akan wasiat generasi silam sebagai kalam mewariskan sejarah mereka kepada generasi kini dan masa depan namun wajarkah dinafikan bahawa sejarah menjadi hak semua.

Tuesday, January 12, 2010

KAWAN

Ada orang semakin ramai KAWAN

Ada orang semakin sikit KAWAN

Ada orang, dulu KAWAN sekarang LAWAN

Ada orang dulu LAWAN sekarang KAWAN

Siapa Sebenarnya KAWAN

Monday, January 11, 2010

BENAR

Lama BENAR saya tidak berkunjung ke blog sendiri. Soal kenapa, rasanya “TIDAK PENTING ” sangat untuk orang lain tahu. Tapi untuk saya, sebab itu sangat “PENTING” untuk saya tahu.,

Kemungkin juga itu sebabnya, kenapa ada perkara lain “PENTING” pula untuk orang lain tahu. Namun “TIDAK PENTING” sangat untuk saya tahu…

Begitulah berpendapat. Samada BENAR masih saja boleh dipersoalkan.

Tapi ini memang BENAR. BENAR saya telah kembali mengisi blog ini. Walau mungkin kemasukan entrinya tidak sekerap yang saya sendiri harapkan.

Sejak tadi, dari awal ayat, saya tampilkan istilah BENAR. Ada beberapa persoalan muncul di fikiran…..

Agaknya KEBENARAN bagaimanakah yang tiada penafian padanya?
Dan, jika KEBENARAN ditewaskan apakah ia bukan BENAR lagi ?

KEBENARAN yang dipersoal sebegini jika bertemu kesukaran tetap juga merasa selamat. Tapi apakah terjadi jika Pembohongan diangkat sebagai KEBENARAN? Dan jangan katakan ini andaian, kerana berapa banyak Pembohongan tapi masih tetap ada yang percaya. Apalah untungnya bila aturan BENAR telah terbalik. Terbalik bagaimana? Seperti ini; “BERANI KERANA BOHONG, TAKUT KERANA BENAR”.

“ menjadi Orang Kecil yang BENAR jauh lebih mulia dari menjadi Orang Besar yang BOHONG”
Ini pun pendapat juga. Wallahulam….