Tuesday, March 31, 2009

ANTARA TERIMA KASIH DAN UPAH

Font size

Masih terngiang-ngiang ungkapan Terima Kasih yang tak henti-henti diucapkan petang tadi.  Amat tersentuh hati, menerima pelukan erat mereka kerana melahirkan  rasa Terima Kasih.  Hati menjadi  sayu melihat linangan airmata, ketika tangan menghulur  salam, bibir berkata Terima Kasih. Kata mereka lagi;  Terima Kasih kerana layanan dan perhatian, Terima Kasih kerana Ilmu, Terima Kasih kerana Pengalaman, Terima Kasih kerana Semangat.

Perlukah berterima kasih kepada saya? Kerja dan tugas saya bukan percuma. Khidmat saya berUPAHkan duit. Hujung bulan pasti dibayar GAJI. Maka harus bagaimana lagaknya saya dengan penghargaan Terima Kasih yang diberikan. Jika mungkin beban kerja saya tidak berbaloi dengan Upah diberi, tentulah penghargaan itu begitu bermakna. Namun  layakkah saya mengukur dan menilai lantas menyatakan  bahawa Upah diberi tidak setimpal.

………sekadar mengimbas lontaran persoalan petang tadi, tatkala merumuskan pengalaman 5 hari 4 malam bersama. Soal saya, apakah jawatan yang disandang, jika lebih tinggi dari orang lain akan lebih memuliakan? Berapa sangatlah upah seorang Pemandu, tapi jika dia terkorban untuk menyelamatkan Ketuanya. Terbayarkah jasanya atau lupakan saja soal bayaran, kerana mereka yang duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin lebih penting dari dia. Ucapkan saja takziah dan katakan Terima Kasih kepada keluarga pemandu itu kerana telah menyelamatkan.……

Dengan sekadar Terima Kasih dapatkah menghidupkan hati yang ikhlas membantu? Dengan sekadar Terima Kasih  dapatkah  merimbunkan  budi dan jasa? Bukankah sekarang segalanya perlu duit, bagaimana jika poket kosong.  Pengemis itu meminta-minta lantaran tidak punya duit apatah lagi untuk memberikan Upah. Lalu siapa yang  akan berkata Terima Kasih kepadanya?

Malangkah diri jika tidak dapat memberi Upah?  Bagaimana nanti tatkala raga bercerai jiwa menunggu masa menuju pusara. Jasad  terbiar kaku. Kerana  pusara tidak bergali,  jenazah tidak berusung.  Tiada Upah untuk semuanya. Terima Kasih bukan Upah, duit telah menjadi raja, melakukan ibadat pun tidak percuma.

Di persimpangan Antara Terima Kasih Dan Upah, renungkanlah maksud hadis ini.  Sesungguhnya orang yang dekat di sisi Allah adalah orang yang banyak manfaatnya kepada orang lain. 

Sunday, March 29, 2009

HILANG

Bayangkan anda jadi HILANG ingatan. Siapa pun atau apa pun anda tidak kenal. Alangkah sukarnya mengurus hidup jika semuanya umpama baru bermula sedang usia telah lama meniti zaman. Tragedisnya HILANG ingatan, seperti nadi tidak berdenyut, deria tidak merasa, jiwa tidak bergelora, akal tidak  berfikir. Dapatkah dikembalikan ingatan yang HILANG.  Apakah kita perlu  kembali ke sungai untuk berenang lemas jika itu saja peristiwa yang bisa memulihkan ingatan?  Apakah perlu kita mengulang tangisan yang pilu tunduk dicerca jika hanya itu saja penawar ingatan yang HILANG.  Sukarnya melakukan itu semua.

Jika kita punya wang beli saja yang baru jika barang lama HILANG. Atau pinjam saja dari mereka yang pemurah jika tidak mampu mendapatkan yang baru. Barang HILANG ! sebenarnya bukan hanya soal mendapatkan yang baru atau meminjam pada yang ada. Bagaimana jika barang itu pemberian yang teristimewa  atau barang pusaka atau juga warisan. Mungkin yang baru tidak  sama nilai dan ertinya dengan yang lama.

HILANG, tentu sakit bukan…., jika yang hilang itu orang kesayangan kita. HILANGnya bertemu Ilahi. (Al-Fatihah buat Allahyarham Terang Bin Jamal dan Allayarham Maujud Bin Terang).  HILANG di mata di hati jangan, maka tentulah jiwa dilaram  duka, rindu menyelubung rasa. Ingin berjumpa tidak bertemu, mencari entah di mana. Begitulah keHILANGan, pergi tapi tak padam dari ingatan. 

Mereka HILANG, walau tanpa pertalian darah, kita tetap mendambakan mereka. Kerana pada jasad mereka menyala semangat juang yang membara, memugar idealisma yang penuh pedoman. Mereka manusia menunjuk arah, memimpin untuk mendapat redha. Justeru itu amatlah terkesan keHILANGANgan manusia berteladan apatah manusia karamah. Turutlah kita menghadapi getir perjuangan mereka kerana tentu jutaan  nyawa yang mahu mereka HILANG di medan juang.

Semakin kusut kerana HILANG. Hidup semakin kacau. Mana tidaknya kemanusiaan diperkosa, sistem porak peranda. Mungkin inilah kebejatan besar, kerana HILANG hidayah.

Cukuplah dengan yang HILANG,

HARI ini, kesungulan saya tidak terkira, murung tak tidak mampu bersembunyi.   Buat apa pun tak kena. Apapun  dicapai seperti tidak berbentuk.  Laptop LAMA saya rosak, sudah dua hari. Bagaimana saya dapat mengingat semuanya;   rekod, fail, nombor, catatan, semuanya. Paling sayang bait ayat-ayat hikmat saya juga turut serta baris kata-kata itu tak mampu saya selamatkan. Semua data saya HILANG. HILANGnya umpama satu peti ingatan saya HILANG

Friday, March 27, 2009

KITA BERBEZA

Kadang-kadang saya menemui diri saya dalam diri kamu. Sebaliknya mungkin kamu juga akan menemui diri kamu dalam diri saya. Apakah kita sama? Jawabnya kalau kita sama sahaja, apa perlunya lagi kamu kepada saya. Mungkin kita tahu, yang terjadi di antara kita bukan tanpa disedari. Tiba ketika di antara kita ujud rasa suka, rindu, sayang malah mungkin cinta bagai Adam dan Hawa. Tidak terlepas juga, ada saatnya kita terperangkap dalam sekam kebencian, berdendam ke anak cucu, kemarahan membakar jiwa, menyumpah bagai nak gila. Itulah keunikan kita. Satu masa kita boleh bergelak ketawa bersama, satu masa kita langsung tidak boleh berpandang rupa. Hakikatnya memang KITA BERBEZA.

Sebenarnya, Siapa SAYA ? Siapa pula ANDA? Di mana sempadan kita?

Diri KITA adalah jelmaan Ilmu, Nilai dan Pengalaman KITA. Mungkin kerana Ilmu, Nilai dan Pengalaman kita, akhirnya kita jadi berbeza. Soalnya, serupakah kita jika Ilmu, Nilai dan Pengalaman kita sama. Dari satu sudut, Ilmu kita mungkin sama tapi Nilai dan Pengalaman kita berbeza. Boleh jadi Nilai kita sama tapi Pengalaman dan Ilmu kita tidak sepadan. Sebaliknya, jika Pengalaman kita sama belum tentu Ilmu dan Nilai kita seangkatan. Sejenak kita renungkan pepatah ini.

"Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing." "Bersatu kita teguh, Bercerai kita Roboh."

..........Siapa tidak mahu harta? Tapi nilai harta tidak sama antara kita. Siapa tidak mengejar masa? Tapi nilai masa tidak sama antara kita. Siapa tidak mahu memiliki sahabat? Tapi nilai persahabatan tidak sama antara kita. Siapa tidak mahu beroleh bahagia? Tapi nilai kebahagiaan tidak sama antara kita.

……….Peristiwa hidup kita mungkin sama, tapi apakah pengalaman kita akan sama. Apakah peristiwa itu pengalaman? Bertanyalah pada seseorang apa pengalamannya ketika lahir tentu dia tidak dapat menceritakannya. Bertanyalah pada sekujur tubuh yang kaku, tentu kematian itu tidak dapat diceritakannya. Pengalaman bukan sekadar peristiwa. Pengalaman sangat subjektif dan abstrak. Pengalaman adalah peristiwa dalaman diri kita.

.........Jika menuntut dengan guru yang sama, apakah kepahlawanan kita akan sama. Jika berguru dengan orang yang sama, apakah kecerdikan kita akan sama. Jika memiliki segulung ijazah yang sama, apakah kebijaksanaan kita akan sama. Jika kita membuka kitab yang sama, apakah fikiran kita sama. Jika seni karya kita sama, apakah posisi kita akan sama?

Hakikatnya memang KITA BERBEZA. Siapakah akan lebih untung dan siapakah akan lebih rugi dengan perbezaan ini. Yakinlah, selagi perbezaan ini tidak menemui titik pertemuan kedua-dua kita akan rugi.

Salju dari mana, boleh kita siramkan untuk memadamkan buih sengketa yang menggelegak? Upah sejumlah berapa boleh kita bayar untuk membina tembok persaudaraan yang runtuh? Tebusan apa menjadi ganjaran untuk mengembalikan seperjuangan yang belot melawan musuh? Jika tiada jawapan, bagaimana kita mahu meneruskan hidup bersama sedangkan segala segi kita berbeza.

Nelayan di laut, petani di sawah. Mana mungkin kita tahu derita nelayan jika suara ombak tiada pernah didengar. Mana mungkin kita tahu derita petani jika permatang pun kita tidak pernah jejaki. Derita mereka adalah PENGALAMAN mereka, bukan pengalaman kita. Juga mana mungkin merungkai kusutnya permusuhan jika tidak kembali kepada NILAI kasih sayang. Mana mungkin mereda perdebatan jika tidak kembali kepada prinsip ILMU.

Namun apakah semuanya kemungkinan belaka, hanya kerana memang KITA BERBEZA. Bukanlah retorik menjalin semangat dan bukanlah khayalan mempertemukan fikiran. Sebesar mana pun beban beza di antara kita tentu neraca pertemuan. Bagai dikata “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”. KITA BERBEZA. Dengan ILMU, NILAI dan PENGALAMAN jugalah kita menguruskan perbezaan ini. Ilmu, Nilai dan Pengalaman yang disepadukan mungkin memberi sinar harapan untuk kita hidup aman serta damai.

Wednesday, March 25, 2009

APA ADA PADA NAMA


Penting sangatkah NAMA ? TENTU SEKALI.

Tidak ada dalam urusan kehidupan yang tanpa NAMA. Sekadar contoh….
Memanggil…, nama akan disebut.
Memakai ….., nama perlu dikenali.
Menggunakan….., nama perlu diketahui.
Semuanya perlu Nama. Jika tidak, segalanya tidak keharuan dan tidak menentu. Bayangkan, kita menggunakan selipar di kepala dan meletakkan songkok di tapak kaki. Perbuatan sangat merosakkan Nama. Kerana Nama itu telah kehilangan manfaat dirinya lantaran tidak diletakkan pada kedudukan dirinya yang sebenar.

Pepatah Melayu berbunyi ;Harimau Mati Meninggalkan Belang, Gajah Mati Meninggalkan Gading, Manusia Mati Meningalkan Nama.

Begitulah NAMA. NAMA berada di mana-mana. Pada nama ada kemahsyuran, pada nama ada pengaruh, pada nama ada kuasa, pada nama ada maruah. Tapi beringatlah mungkin dengan nama api kebencian akan menyala, dendam kesumat tidak berkesudahan.

Oleh itu bagaimana sebenarnya hakikat NAMA.

NAMA tidak pernah menamakan Dirinya. NAMA itu dinamakan. Tapi siapa yang menamakan. Kitalah yang menamakan. Menamakan adalah kehebatan Kita. Malah menamakan adalah sifat kita yang dinamik kerana menamakan datangnya dari Aqal. Selagi Aqal waras selagi itu menamakan menjadi perbuatan kita. Masa akan datang mungkin muncul Nama yang kita tidak pernah dengar, tidak pernah menggunakannya atau tidak pernah merasa kebaikkan darinya. Nama baru itu hasil rekacipta kita, kerana Aqal kita akan sentiasa mencari jawapan kepada persoalan yang kita hadapi.

Nama juga membawa persoalan besar yang perlu difikirkan. Walau nama diberi tapi adakah yang memberi nama itu semuanya KITA ? Sesungguhnya ada satu himpunan nama-nama dan ada satu nama besar yang bukan kita yang menamakannya.

“Insan” dan “Islam” adalah nama pemberian yang Maha Kuasa. Tentunya nama ini berbeza penamaannya dengan penamaan biasa. Mungkin salah satu, kerana nama ini mengandungi unsur diri PEMBERINYA. Marilah kita terus merenung dan berfikir tentang nama-nama yang ada dan nama-nama akan datang…….

Tuesday, March 24, 2009

CARA SENDIRI

……Aku Bukanlah Seorang Perwira
Gagah Menghunus Senjata
Namun Aku Rela Berjuang
Walau Dengan
CARA Sendiri
Demi Cinta Ini……
(petikan lagu WARISAN dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad)

Kita punya CARA tersendiri. Tentukan kita tidak akan kehilangan CARA. CARA kita adalah minda dan jiwa kita. Tapi kita perlu bertanya pada diri sendiri. Mampukah CARA kita mengurus tanggung jawab walau apapun amanah dipikulkan ?

Sekumpulan manusia cacat dipertanggungjawabkan kepada anda. Andalah pemimpin kepada mereka yang Buta, mereka yang Pekak, mereka Berkurap, mereka yang Kerdil. Lantas apa yang mampu dilakukan dengan kehadiran mereka sebagai pengikut Anda. Menunjuk jalan tidak nampak, berkata tidak didengar. Mungkin dengusan kecil tanda keluhan.., mereka ini menyusahkan sahaja. Lebih baik tidak jadi Ketua jika beginilah pengikutnya.

Namun si Buta penuh bangga bersuara kepada anda “Akulah si Buta, biarlah aku meniup lesung, walau kena abuk mata ku, tak akan bertambah buta mata ku, memang mata ku buta pun, sesuailah kerja ini dengan aku.

Berkata pula si Pekak dengan suara berkobar kepada anda “Akulah si Pekak, biarlah aku membakar meriam, walau besar manapun bunyi dentum meriam, tak akan bertambah pekak telinga ku, memang telinga ku pekak pun sesuailah kerja ini dengan aku.

Alangkah hebatnya mereka ini. Walau tidak sempurna kejadiannya, jiwa dan minda mereka tidak cacat. Mereka mampu mengenal cara. Lalu mereka bukan manusia melukut di tepi gantang. Mereka tahu bagaimana untuk berperanan.

Lalu bagaimana dengan KITA. Dengan Kesempurnaan jasad dan Keindahan fizikal KITA apakah KITA boleh mengatur sekecil-kecil tugas sehinggalah sebesar-besar peranan ?

Sekali lagi KITA jangan kehilangan CARA. Andai Kita lemah “membangunkan” janganlah kita kuat “merobohkan”. Mana mungkin kita menduga, sepatah perkataan kita, mampu membetulkan haluan yang salah.

JUARA

Teringat akan perkara yang terlintas di fikiran kelmarin, saat dalam perjalanan pulang menuju ke kampung halaman.

'SABAH VFM, Alaaap Bana' itulah siaran pilihan ketika dalam pemanduan ke destinasi. Berkumandang Lagu-lagu Sama bersilih ganti. Tertanya-tanya lagu mana satu yang bakal menjadi JUARA carta. Menarik juga mengikuti siaran ini, walau tidak membelai rasa boleh juga menghiburkan.
Yang lebih bermakna siaran ini meninggalkan satu persoalan dalam diri. Apakah jika satu lagu telah bergelar JUARA, terjaminkah ia sentiasa hidup di jiwa pendengar sepanjang zaman.

Sekadar Renungan, Dulu bukankah ada satu binatang Dinasour namanya. Bertubuh besar, rupa menggerunkan malah mungkin mendengar suaranya sahaja bisa memecut deras denyutan jantung. Namun masihkah ditemui ? Jika ya….di mana ? Dinasour telah hilang ditelan zaman. Dinasour gagal mandiri, tiada upaya beradaptasi terhadap perubahan zaman. Jika ditemui hanya replikanya sahaja atau fosilnya yang menjadi kajian. Itulah nasib Dinasour, dia bukan JUARA sepanjang zaman.

Kembali Kepada Persoalan JUARA.

Apakah ada qudrat kita memartabatkan Bangsa agar menjadi JUARA sepanjang zaman ? Jika Bangsa kita zahir dalam lagu atau berentap dalam persada seni semata akan agungkah Bangsa kita. Sedangkan Bangsa yang berdendang dengan irama lagu sudah tentu citarasa pendengar menjadi kuasa menjuarakannya.

Mungkin jawapan ini boleh dipersoal. Sebaliknya tidak salah juga jika direnung bersama. Kehebatan Bangsa tidak tangkas melangkah dengan jejari tubuh di luar Bangsa itu sendiri. Malah jika bersilat bagai pahlawan, bukanlah penonton menentukan nasib. Kemenangan bukan kerana citarasa mereka yang bersorak gembira atau suka.

Kemegahan Bangsa muncul dari keringat jasad Bangsa itu sendiri. Bangsa sendiri juga yang mencorak citarasa yang berpengaruh.

Bangsa bukan tidak punya rupa, tidakkah Jati Diri itu menjadikannya rupawan. Mari kita bersoal lagi. Dengan apa kita martabatkan Bangsa ini agar gagah menongkah masa.