Friday, May 29, 2009

PILIH KASIH

Anda bukan seorang yang bersikap PILIH KASIH. Tapi pernahkah sesekali anda cenderung memberi layanan istimewa kepada seseorang. Maksudnya, jika dalam sekumpulan orang,  hati anda merasa BERAT pada seseorang. Sedangkan atas nama tanggungjawab sekumpulan orang itu perlu anda layan secara saksama. Sayangnya  layanan anda  tidak serupa itu.

Tentu ada  alasannya  jika sikap kita rentaknya tidak seirama kepada semua orang.  Cuma alasan  kita, bukan semua orang menerima. Lalu akan ada orang dilayan begitu, terasa hatinya. Akhirnya hatinya tidak lagi merasa senang.......

Ada dikata “Berkawan Biar Seribu, Berkasih Biarlah Satu”. Apakah pepatah ini terlepas dari makna PILIH KASIH? Begitulah agaknya.  Sebenarnya KASIH adalah suatu perasaan yang suci. Yang rumit itu adalah memilih-milih KASIH.

Di sini sebenarnya;  Bukan hanya sekadar mahu bersoal tentang Pilih Kasih; Tapi nak bagi tahu.....,

‘Susahnya nak jaga hati orang, apatah lagi nak jaga hati semua orang’

Susahnya membuat orang berhati senang, apatah lagi nak buat semua orang berhati senang’.

‘Susah nak mendidik hati orang, apatah lagi mendidik semua hati orang’ 

Dan lagi......,

Jika hati sendiri tak terjaga dapatkah terjaga hati orang.

Jika hati sendiri tak senang dapat menyenangkan hati orang.

Jika hati sendiri tidak terdidik dapatkan mendidik hati orang.

HATI SENDIRI HATI ORANG  andai diumpama.....

Bagai Air Dicincang Tak Akan Putus.

Bagai Aur Dengan Tebing.

Mungkin......

Ketika itu tiada lagi dua hati dan tiada lagi dua jiwa. Melainkan telah bersatu seperti dikata  SEHATI DAN SEJIWA.

Ketika itu juga, mungkin yang dikhuatiri sebagai pilih  kasih itu pun tiada lagi.

Tapi, itupun belum tentu....

Tuesday, May 19, 2009

SALING PERCAYA

Keharmonian yang dikecapi dalam perhubungan sesama insan berkembang seiring dengan keintiman  rasa saling percaya mempercayai. Semakin mendalam rasa saling percaya, semakin teguhlah hubungan yang terbina.  Soalnya, apakah pada semua perhubungan memerlukan rasa saling percaya? Atau bolehkah dikatakan  titik awal  terbitnya rasa saling percaya  itu bermula dengan ikatan perhubungan.

Kiranya benar begitu, hakikat hubungan perlu terdahulu difahami. Bagaimanakah anda mengatakan yang anda punya hubungan dengan seseorang? Adakah  kerana ujudnya pertalian darah? Adakah kerana anda dengan dia saling tahu dan saling mengenali. Atau apakah  kamu berdua punya persamaan tugas? Atau mungkin ada misi yang perlu anda lakukan  bersama ? Atau ada lagi lain-lain kemungkinan…..

Berasas kepada alasan-alasan tadi, maka kita akan contohkan hubungan itu sepertinya hubungan antara suami dan isteri, hubungan antara ibubapa dan anaknya, hubungan antara adik beradik serta sanak saudara. Dan jika tiada pertalian darah sekalipun sebenarnya, hubungan itu akan diakui juga sebagai hubungan antara teman-teman paling tidak sebagai kenalan.

Pada semua hubungan ini jika ia disimpul dengan rasa saling percaya maka hubungan itu akan berpanjangan. Bayangkan jika antara suami isteri sudah hilang rasa saling percaya mempercayai.  Tiada perkara melainkan dipersoal. Tiada jawapan melainkan ada keraguan dan syak wasangka. Ketika itu  mengurus hubungan akan menjadi  suatu yang sungguh memenatkan.

Sekiranya hubungan dikatakan juga ujud di antara pengikut dan ketua, atau di antara rakyat dan pemerintah.  Maka kita perlu menentukan sebab mengapa pengikut perlu percaya kepada ketua? Atau menentukan  alasan mengapa rakyat perlu percaya kepada pemerintah? Supaya nanti apabila sebab dan alasan itu tidak lagi dipatuhi atau tidak lagi ditepati, berang tidak menjadi-jadi. Bukan mustahil lagi  berita tentang  ketua yang disabotaj atau dijatuhkan. Malah yang berlaku akan lebih dari itu.  Demikianlah jika kemarahan berselerakan akan ada amaran menurunkan pemerintah.  Itulah malangnya jika hubungan bagai  telur di hujung tanduk,  tetapi lebih malang kepada mangsa yang menerima nasib.

Di manakah sebenarnya tempat kunci rasa saling percaya itu berada.   Apakah ia tersimpan dalam sendi pengikat rasa saling percaya. Dan jika cedara sendi itu remuklah  hubungan,  tak akan tertanggung akibat yang parah. Bertanya lagi; sendi yang dimaksudkan itu apa rupanya ? Itukah mungkin yang dikatakan  ‘Kepentingan Bersama’.  Kepentingan yang masing-masing punya hak terhadapnya.  Sekiranya hak itu sudah tidak terjaga.  Rasa terlindung  dan rasa selamat akan hilang dalam perhubungan. Setelah semua rasa itu telah tiada, masihkah bersemangat meneruskan hubungan yang sudah luntur  rasa saling percaya ?

Mengurus rasa saling percaya  menjadi sebahagian dari urusan kita. Suatu masa, seseorang menjadi lawan kita mungkinkah  kerana dia sudah tidak percaya kita? Suatu masa, orang sinis kepada kita mungkinkah kerana orang sudah tidak percaya kita? Mengapa tidak, kerana kita banyak menabur janji tapi semuanya kita mungkiri. Maka marilah kita memikir-mikir bagaimana untuk menjadi seseorang yang tetap  dipercayai.

Dipercayai;  cukupkah sekadar bercakap benar dan tidak berdusta?  Jika ada satu, atau dua, atau tiga, atau empat orang bersifat benar dan tidak berdusta maka KEPERCAYAAN tetap diletakkan kepada  orang yang kelima  bersifat benar. Mengapa? Kerana dia, menjadikan harapan sebagai kenyataan. Kerana dia, mampu memecah kebuntuan. Kerana dia, optimis mencantumkan  rencana-rencana perubahan yang pada satu masa menjadi realiti baru.

Monday, May 11, 2009

KALAM TAK BERUBAH

‘Di Kayangan Kita’. Ini tajuk lagu dendangan Siti Nurhaliza. Saya amat menggemarinya.  Kerana dalam lirik lagu ini, saya amat terpesona dengan satu baris ungkapan. Bukanlah hajat untuk  mengulas lagu tersebut, sekadar menjemput perhatian kalian untuk merenung semangatnya. Saya kenalkan ungkapan ini dalam beberapa persoalan, moga anda menemui mana satu ungkapan yang saya maksudkan itu.

*************************

Jebat mati di tangan Tuah.  Demi Tuah, Jebat sanggup mati.

 Demi Tuah Jebat sanggup derhaka kepada Sultan.

Itulah Jebat KALAM TAK BERUBAH, biar dia melanggar arus Kesetiaan.

Itulah Jebat KALAM TAK BERUBAH, pada sumpah Pahlawan.

Itulah Jebat   KALAM TAK BERUBAH, pada Persahabatan.

**************************

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu berjanji kini memungkiri ?

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu kawan kini jadi lawan ?

Benarkah  KALAM TAK BERUBAH jika dulu rindu kini jadi benci

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau kayangan jadi hantaran ?

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau ugutan jadi desakan ?

Kenapa KALAM TAK BERUBAH walau nyawa taruhan ?

**************************

KALAM TAK BERUBAH apakah maknanya SETIA.

 

Saturday, May 9, 2009

PERIUK NASI

Siapa tak tahu PERIUK NASI. Pelbagai jenama ada; sebut saja National, Sanyo, Philip, Kenwood, Toshiba Akira merata ditemui. Akan datang banyak lagi jenama baru. Poket berisi tiada halangan untuk membeli. Mahu murah boleh ! dan kalau mahu mahal bayar saja lebih. Kalau masak pastikan nasinya cukup. Ramai yang makan ambillah periuk  yang lebih besar.

Tapi jangan lupa ada satu lagi jenama PERIUK NASI. Bukan juga versi baru, tapi zaman telah memberikan makna baru kepada PERIUK NASI ini.  Apa bezanya guna Periuk Nasi versi ini? Awalnya  Periuk Nasi diertikan seumpama rezeki, guna untuk mengalas hidup. Tapi hidup tidak selamanya tenteram, terpercik cabarnya. Apa terjadi !  Periuk Nasi bukan lagi mengalas hidup tapi menjadi alasan  hidup.

SEKARANG INI

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup  dia membelakang agama.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia mengkhianat bangsa.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia menggadai maruah.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia memakan sahabat.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia menindas teman.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia bercabang lidah.

Ada orang ; Menjaga Periuk Nasinya sanggup dia bermuka-muka.

- PERIUK NASI menjadikan orang BERMACAM ORANG -

Orang sekarang bukan sekadar memasak nasi tapi  Orang pun akan dimasaknya. Apa tidaknya, mentang-mentanglah Periuk Nasi mereka bersadur berlian, mentang-mentanglah Periuk Nasi mereka kilangnya jenama Negara. Makannya telah berubah selera. Mengapa tidak ! jika yang dijilat keringat orang.

Ya.., Kini Orang sudah makan Orang. Orang itulah yang dikata Orang tak berhati perut. Perutnya tidak puas dengan hidangan lazat,  kenyangnya menjamah perut orang.

Alangkah baiknya ditanak nasi,  turut dirasa orang. Bukan sendiri merasa kenyang, ada orang menumpang kenyang.

Dunia ini untuk semua orang. Bukan hanya untuk Kita Orang. Jika Kita Orang mahu senang, demikian juga orang lain. Mereka Orang  pun mahu hidup senang.  Mengapa mesti kacau Periuk Nasi Kita Orang ? Dan Kenapa pula mesti dikacau Periuk Nasi Mereka Orang ?

Alahai PERIUK NASI….,  

Friday, May 8, 2009

PERSOALAN MASA


Sekadar bertukar pandangan mengenai 3 persoalan MASA.

Pandangan Pertama;
Persoalan: ‘Mengimbas masa silam dan menoleh kebelakang itu juga cara merasakan pergerakkan masa?’

Masa silam jika kondisinya sama saja dengan kondisi masa kini. Dapatkah di rasa pergerakan masa? 

Tapi jika kondisi masa telah bertukar rupa. Tentu dapat dirasa peredaran masa. Mungkin sesuatu juga dapat dipelajari. Belajar dari zaman yang berubah, bergantunglah nanti samada perubahan kecil atau perubahan besar.

Perubahan zaman tidak berlaku kebetulan, melainkan kesan dari pembaharuan jiwa dan pemikiran. Seringkali jiwa dan pemikiran besar akan meninggalkan mercu tanda zaman. Peninggalan oleh mereka yang digelar pelopor zaman, Pemimpin Perubahan. 

Apa Salah Menjengah Masa Silam Jika Untuk Merubah Zaman. Asal Dapat Kembali Ke Masa Kini, Kerana Masa Kini Itu Adalah Realiti. Lakukan Sebaiknya Pada Masa Kini, Jangan Sampai Masa Kini Menjadi Titik Mula Kehancuran Masa Depan.

Pandangan Kedua ;

Persoalan: ‘Bayangkan jika tiada alat mengukur masa’.

Sebaliknya bayangkan pula jika semua alat mengukur masa tidak berfungsi. Walau apa alat sekalipun, samada alat buatan manusia mahupun pengukur ciptaan Tuhan. 

Dapatkah anda menunggu ketibaan yang tak tahu waktunya. Dan bagaimana agaknya melakukan sesuatu, jika bermula entah bila, dan untuk berakhir pun entah bila? Juga, urusan apa perlu diteruskan lagi jika hari tak berganti. Haru juga keadaannya begini….., 

Pandangan Ketiga ;
Persoalan : Masa Yang Tiada Ujud

Di perantara titik mula dan titik akhir ujud ruang peristiwa. Peristiwa ada ketika menyentuh jiwa dan fikiran. Bagaimana agaknya menyukat masa yang ujud dalam jiwa dan fikiran ?

Apakah sukatan mengukur masa sayang, jika ruangnya melepasi titik perpisahan. Apakah sukatan mengukur masa perjuangan jika ruangnya bukan hanya di medan tempur. Apakah sukatan mengukur masa kemaafan jika kemarahan tiada berpenghujung. Ruang dalam jiwa dan fikiran adalah ruang masa yang tanpa sukatan. 

***********************
Yang Dikejar Tak Dapat Yang DiGendong Berciciran. Ini Bukan Pepatah Tentang Masa. Benar ! Tapi Bagi Saya Ini Adalah ;
PEMBAZIRAN MASA

Tuesday, May 5, 2009

PERGERAKAN MASA

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Lihatlah Pada Matahari.

Sinarnya hadir di siang hari. Sirnalah ia dijemput malam.

Lihatlah Pada Bulan.  

Wajahnya Sabit di saat muda. Menjadi Purnama menjelang dewasa.

Lihatlah Pada Bintang.

Kerlipannya indah menghias malam. Hilang kilaunya pabila siang.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Hitunglah Hari.

Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Raikanlah Bulan Kebesaran. 

Berpuasa di bulan Ramadhan, saling bermaafan di pagi Syawal. Tunaikan Haji di bulan Zulhijjah.

Sujudlah.  

Seawal sebelum fajar terbit. Mulakan dengan Subuh.  Susuli dengan Dzohor, Asar, Maghrib dan akhiri dengan Isyak.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Di saat ,

Alam telah berubah rasa.  Panas, Sejuk, Luruh dan Bunga berganti musim.

Di saat,

Kalender bertukar tarikh. Ada temujanji mahu dipenuhi.

Di saat ,

Takwim bertukar rencana. Ada urusan mahu dibereskan.

Di saat ,

Dairi mencatat pengalaman. Ada kenangan mahu dirakamkan.

 

BEGITULAH CARA MERASA PERGERAKAN MASA

Merasa akan peredaranya terjadi di LUAR DIRI. Merasa akan pergerakannya  terjadi dalam edaran ORBIT. Namun, jika demikian cara merasakannya. Di manakah letaknya masa? Apakah masa  tiada dalam diri. Demikian juga, jika geraknya itu umpama melintas orbit. Di manakah titik hentinya masa.

Dapatkah dirasakan, semakin hari kulit semakin kendur, mata semakin kabur,  rambut semakin banyak yang gugur dan badan sudah semakin uzur.  Kerana diri sudah  semakin BERUMUR.

Itulah pergerakan masa sebenar. Pergerakan masa yang berada DALAM DIRI. Pergerakan masa tanpa melintas ORBIT. Kerana yang bergerak dalam masa itu adalah USIA. Usia hidup berhenti pada titik kematian. Maka jika mahu merasa bahawa masa itu sedang bergerak.  Sedarilah perjalanan Usia, kerana perjalanan usia adalah perjalanan masa.

Sunday, May 3, 2009

PERCAYA ATAU TIDAK

Terserempak dengan seorang pakcik, lalu bertanya kepadanya. Ramai juga yang hadir pakcik?  Banyak betul kerusi kosong Nak…, mungkin kalau 200 orang tu adalah. Berdetik di hati, sikitnya! Hebaan bukan main, sana-sini banner saja bergantungan.

Terserempak lagi dengan seorang pakcik, berumur sedikit dari yang pertama. Soalan lain diajukan. Dapat sumbangan apa pakcik? Sambil menunjukkan beg plastik di tangan, inilah Nak…, beras 10 kilo, gula 5 kilo dan kopi 1 kilo. Oooo begitu. Dalam hati berkata, mesyuarat semalam bukankah disebut  ada bantuan RM 200.00,  mana sudah perginya?

Keesokannya, pada halaman tiga media melaporkan.  Seramai 500 orang penduduk kampung telah menghadiri Majlis MENABUR BUDI. Tambah penulis lagi,  seramai 100 orang keluarga miskin telah menerima  bantuan wang tunai sebanyak RM 200.00

 PERCAYA yang mana?  Lain Dicakap Lain Dibuat .

Ini satu berita. Kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang lelaki dalam lingkungan usia 40an. Peristiwa itu diceritakan seseorang, ada pandangan diberi.  Katanya, malu juga kalau mati begitu. Mati melarikan perempuan.

Sebaliknya cerita orang ini. Menurutnya, kesian lelaki itu.  Betapa dia telah  bersusah payah untuk menyelamatkan perempuan yang ditemuinya dari membunuh diri. Akhirnya dia yang terbunuh. Dia dijemput mengadap Ilahi semasa perjalanan menghantar perempuan itu ke rumah orang tuanya.

Lain pula nada seorang ini. Dia juga menyaksikan kejadian itu. Selesai ceritanya,  dalam keluhan dia berkata.  Nasib manusia siapa yang tahu.  Kalau umur sudah sampai, dalam tidur pun boleh mati.

PERCAYA yang mana?  Peristiwa sama, lain-lain cerita.

PERCAYA pada cerita? Sebenarnya hanya ada dua cerita. Cerita BENAR dan Cerita BOHONG. Maka itu, diperingatkan kepada yang bercakap. Seperti ini bunyinya;  ‘Kerana pulut santan binasa. Kerana mulut badan binasa’.  Lantas,  lebih baik diam dari lidah bercabang.

Benar, lidah itu ibaratnya lebih tajam dari pedang. Kerana jika lidah melukakan darahnya di hati. Tidak seperti pedang lukanya nampak di mata. Maka bila berbicara, perlulah beradab dan tahu untuk apa? Lihat pada isinya, apakah  kebenaran atau kepalsuan. Maksud ini kena jelas dan mengerti, kerana sisi kebenaran dan kepalsuan itu berbeda. Jika kebenaran itu membangunkan maka kepalsuan itu pasti menghancurkan. 

Apakah bercakap satu kebebasan?  Yang pasti  orang memang suka bercakap untuk bercerita tentang dirinya dan sianu, tentang itu dan ini.  Mereka memuji,  mereka juga mengeji. Ada yang elok kata-katanya tapi  ada juga jenis mengadu domba, merata menabur fitnah. Ada yang walau kebenaran menghindari sumpah, tapi ada yang penuh keberanian dalam kepalsuan  mereka bersumpah.

Itulah orang.  Ada saja yang mahu dia cakapkan . Mereka bercakap apa yang mereka fikir. CAKAP mereka adalah FIKIRAN mereka. Oleh itu, bukan semua PERCAKAPAN orang sama nilainya. Namun siapapun bercakap, jika mereka bercakap, apa kata mereka, tak kuasa kita mengawalnya. Tapi kita yang mendengar,  mahu PERCAYA atau TIDAK PERCAYA  pada cakap mereka itu kuasa kita.

PERCAYA atau TIDAK PERCAYA boleh menjadikan kita baik. Tapi  tidak mustahil PERCAYA atau TIDAK PERCAYA boleh menjadikan kita rosak.