Tuesday, May 5, 2009

PERGERAKAN MASA

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Lihatlah Pada Matahari.

Sinarnya hadir di siang hari. Sirnalah ia dijemput malam.

Lihatlah Pada Bulan.  

Wajahnya Sabit di saat muda. Menjadi Purnama menjelang dewasa.

Lihatlah Pada Bintang.

Kerlipannya indah menghias malam. Hilang kilaunya pabila siang.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Hitunglah Hari.

Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Raikanlah Bulan Kebesaran. 

Berpuasa di bulan Ramadhan, saling bermaafan di pagi Syawal. Tunaikan Haji di bulan Zulhijjah.

Sujudlah.  

Seawal sebelum fajar terbit. Mulakan dengan Subuh.  Susuli dengan Dzohor, Asar, Maghrib dan akhiri dengan Isyak.

 

Bagaimana Caranya Dapat Dirasa, Bahawa  MASA Itu Sedang Bergerak ?

Di saat ,

Alam telah berubah rasa.  Panas, Sejuk, Luruh dan Bunga berganti musim.

Di saat,

Kalender bertukar tarikh. Ada temujanji mahu dipenuhi.

Di saat ,

Takwim bertukar rencana. Ada urusan mahu dibereskan.

Di saat ,

Dairi mencatat pengalaman. Ada kenangan mahu dirakamkan.

 

BEGITULAH CARA MERASA PERGERAKAN MASA

Merasa akan peredaranya terjadi di LUAR DIRI. Merasa akan pergerakannya  terjadi dalam edaran ORBIT. Namun, jika demikian cara merasakannya. Di manakah letaknya masa? Apakah masa  tiada dalam diri. Demikian juga, jika geraknya itu umpama melintas orbit. Di manakah titik hentinya masa.

Dapatkah dirasakan, semakin hari kulit semakin kendur, mata semakin kabur,  rambut semakin banyak yang gugur dan badan sudah semakin uzur.  Kerana diri sudah  semakin BERUMUR.

Itulah pergerakan masa sebenar. Pergerakan masa yang berada DALAM DIRI. Pergerakan masa tanpa melintas ORBIT. Kerana yang bergerak dalam masa itu adalah USIA. Usia hidup berhenti pada titik kematian. Maka jika mahu merasa bahawa masa itu sedang bergerak.  Sedarilah perjalanan Usia, kerana perjalanan usia adalah perjalanan masa.

2 comments:

  1. Mungkin dengan sesekali mengimbas kisah silam dan menoleh sejenak ke belakang, peredaran masa itu dapat di rasai. betulkah ?

    ReplyDelete
  2. Bayangkan tiada alat mengukur masa. "Masa" itu wujud kerana ada titik awal dan akhir. Masa akan sirna jika tiada permulaan dan pengakhiran. Di mana agaknya suasana masa tiada wujud?

    ReplyDelete