Thursday, August 13, 2009

TUDUH

Anda Musuh Dalam Selimut !
Anda Khianati Sumpah !
Anda Berpaling Tadah !
Anda Hipokrit !

Kenapa tiba-tiba saja semua itu menyerang anda. Oh…, rupanya anda sedang dituduh.

CUMA,

Benarkah anda pernah dituduh ! Jika pun bukan dengan tuduhan seperti dikatakan, mungkin tuduhan lain. Mahu dipastikan dulu perkara ini, kerana hanya orang yang pernah dituduh saja, tahu betapa sakitnya menderitai tuduhan, apatah lagi tuduhan palsu.

NAMUN,

Saya bersoal kali ini bukan mahu bicarakan tentang tuduhan, bukan juga tentang yang tertuduh. Tapi yang mahu saya cuit ialah si PENUDUH. Mengapa ada orang sanggup menjadikan dirinya PENUDUH? Bagai satu kegilaan sikapnya yang suka menuduh-nuduh. Jika tuduhan pertama tidak berhasil, dia keluarkan pula tuduhan kedua. Maka menjadi-jadilah dia dengan tuduhan yang bukan-bukan. Sedangkan pada satu keadaan, tuduhannya itu juga adalah sikap dirinya sendiri.

Menuduh-nuduh ini baik dielakkan, nanti akan memusnahkan kewibawaan diri.

Menyoal kembali soal PENUDUH, apakah si PENUDUH boleh membuat telahan, pada tuduhan keberapa maka tuduhannya itu nanti akan dipercayai. Perkara ini mungkin sukar. Kerana, bagaimana agaknya membuat ketentuan jika 1 DUNIA menjadi juri kepada tuduhan itu.

Sekarang ini MENUDUH-NUDUH telah menjadi satu senjata baru. Terutama kepada beberapa kalangan yang semakin ketirisan pengaruh. Atau mereka yang dilanda kemarau pengaruh ekoran rasa percaya orang lain terhadap dirinya semakin kering. Lalu bertukarlah dirinya menjadi PENUDUH. Dia simbahkan tuduhan kepada tubuh orang lain. Berharap dia agar kepercayaan padanya yang semakin hilang kembali mengalir ke batang tubuhnya
Jangan biar menuduh-menuduh ini berkeliaran. Kelak ia menyelirat pemikiran massa, massa menjadi keliru antara kebenaran dan kepalsuan. Akhirnya massa tidak kenal apa namanya berprinsip. Ketika itu jangan dipersalahkan massa yang longgar pegangan. Tiada untungnya menuduh-nuduh ! Kerana tidak pernah ada tuduhan yang berniat baik.

No comments:

Post a Comment