
Perlukah berterima kasih kepada saya? Kerja dan tugas saya bukan percuma. Khidmat saya berUPAHkan duit. Hujung bulan pasti dibayar GAJI. Maka harus bagaimana lagaknya saya dengan penghargaan Terima Kasih yang diberikan. Jika mungkin beban kerja saya tidak berbaloi dengan Upah diberi, tentulah penghargaan itu begitu bermakna. Namun layakkah saya mengukur dan menilai lantas menyatakan bahawa Upah diberi tidak setimpal.
………sekadar mengimbas lontaran persoalan petang tadi, tatkala merumuskan pengalaman 5 hari 4 malam bersama. Soal saya, apakah jawatan yang disandang, jika lebih tinggi dari orang lain akan lebih memuliakan? Berapa sangatlah upah seorang Pemandu, tapi jika dia terkorban untuk menyelamatkan Ketuanya. Terbayarkah jasanya atau lupakan saja soal bayaran, kerana mereka yang duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin lebih penting dari dia. Ucapkan saja takziah dan katakan Terima Kasih kepada keluarga pemandu itu kerana telah menyelamatkan.……
Dengan sekadar Terima Kasih dapatkah menghidupkan hati yang ikhlas membantu? Dengan sekadar Terima Kasih dapatkah merimbunkan budi dan jasa? Bukankah sekarang segalanya perlu duit, bagaimana jika poket kosong. Pengemis itu meminta-minta lantaran tidak punya duit apatah lagi untuk memberikan Upah. Lalu siapa yang akan berkata Terima Kasih kepadanya?
Malangkah diri jika tidak dapat memberi Upah? Bagaimana nanti tatkala raga bercerai jiwa menunggu masa menuju pusara. Jasad terbiar kaku. Kerana pusara tidak bergali, jenazah tidak berusung. Tiada Upah untuk semuanya. Terima Kasih bukan Upah, duit telah menjadi raja, melakukan ibadat pun tidak percuma.
Di persimpangan Antara Terima Kasih Dan Upah, renungkanlah maksud hadis ini. Sesungguhnya orang yang dekat di sisi Allah adalah orang yang banyak manfaatnya kepada orang lain.